1,000 ditahan dalam operasi banteras ladang ganja di UK


Lebih 1,000 ladang kanabis di Britain diserbu polis dengan tumbuhan bernilai £130 juta (AS$165 juta) dirampas manakala kira-kira 1,000 suspek ditahan. – Gambar AFP, 6 Julai, 2023.

LEBIH 1,000 ladang kanabis di Britain diserbu polis dengan tumbuhan bernilai £130 juta (AS$165 juta) dirampas manakala kira-kira 1,000 suspek ditahan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Menerusi Operasi Mille, terbesar seumpamanya dilaksanakan sepanjang Jun oleh setiap pasukan polis di England, Wales dan Scotland, sebanyak 200,000 pokok ganja dirampas bersama-sama 15 hingga 20 pucuk senjata api dan lebih daripada 40 senjata serangan lain.

Kira-kira 11,000 pegawai terlibat dalam operasi itu yang turut merampas wang tunai £650,000.

Operasi besar-besaran selama sebulan itu menyasarkan apa yang dipercayai oleh penguatkuasa undang-undang sebagai perniagaan bagi kumpulan jenayah terancang yang turut terlibat dalam kesalahan lain seperti pengubahan wang haram, penyeludupan dadah Kelas A dan keganasan.

Ketua Jabatan Jenayah Serius dan Terancang, Steve Jupp berkata: “Kami tahu sindiket terancang yang terlibat dalam penghasilan ganja juga dikaitkan secara langsung dengan pelbagai jenayah serius lain, seperti pengimportan dadah Kelas A, perhambaan moden dan keganasan serta eksploitasi yang lebih meluas.

“Operasi ini bukan sahaja berjaya menjejaskan sejumlah besar aktiviti jenayah tetapi risikan yang dikumpul juga akan membantu memaklumkan penguatkuasaan undang-undang masa depan di seluruh negara.

“Jenayah berkaitan ganja sering dianggap sebagai ‘tahap rendah’. Bagaimanapun, terdapat corak jelas eksploitasi dan keganasan yang digunakan kumpulan jenayah terancang untuk melindungi perniagaan mereka.

“Kami juga sering mendapati penghasilan ganja hanyalah satu aspek dari operasi jenayah mereka dan mereka terlibat dengan kesalahan lebih meluas yang merosakkan komuniti,” katanya.

Selain unit perindustrian berskala besar, rumah kediaman kosong juga digunakan untuk ladang ganja. – Bernama, 6 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen