105 pelajar mangsa culik Boko Haram kembali pada keluarga


Seramai 105 pelajar perempuan yang menjadi mangsa culik militan Boko Haram pada 19 Februari lalu dipulangkan kepada keluarga masing-masing. – Gambar AFP, 26 Mac, 2018.

SERAMAI 105 pelajar perempuan yang menjadi mangsa culik militan Boko Haram pada 19 Februari lalu, akhirnya dikembalikan kepada keluarga masing-masing di Dapchi, selepas lima minggu ditahan.

Semua pelajar berkenaan lengkap berpakaian burka dibawa ke Dapchi, Yobe di timur laut Nigeria dengan menaiki lima bas.

Mereka dibebaskan daripada tahanan pada Rabu lalu dan berada di Abuja selama tiga hari, termasuk bertemu dengan Presiden Muhammadu Buhari.

Salah seorang bapa pelajar terbabit, Kachalla Bukar berkata mereka dibawa dari Maiduguri di utara Nigeria dari Abuja, sebelum dipindahkan ke Dapchi dengan pengawasan tentera.

Pelajar perempuan itu antara 111 pelajar yang diculik bulan lalu, namun lima daripada mereka maut ketika insiden penculikan berlaku.

Seorang pelajar Leah Sharibu masih belum dibebaskan penculik, kerana beliau yang menganut agama Kristian dikatakan enggan menukar agama kepada Islam.

Bagaimanapun, Muhammadu berkata pihaknya sedang berusaha sedaya upaya untuk membebaskan Leah. – AFP, 26 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen