PENGANJUR dan pembekal perniagaan pameran bimbang insiden terbaru membabitkan pelawat luar negara dan imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan menjejaskan industri penganjuran acara.
Presiden Persatuan Penganjur dan Pembekal Konvensyen dan Pameran Malaysia (Maceos) Francis Teo brekata insiden itu, walaupun terpencil, boleh menjejaskan imej negara.
“Kami bimbang ia menjejaskan tanggapan pelawat perniagaan terhadap negara kita, dan akhirnya menjejaskan industri acara perniagaan yang mungkin kehilangan pelawat yang berkualiti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, industri itu terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
“Dengan pembukaan semula perdagangan antarabangsa, kita melihat peningkatan penyertaan antarabangsa dan penganjuran acara perniagaan di negara ini.
“Kebanyakan pameran perdagangan ini bersaiz besar dari Cina. Khabar tersebar tentang Malaysia melayan pelawat luar negara dengan buruk, boleh menjejaskan usaha pemulihan negara,” katanya.
Katanya, statistic terbaru daripada Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) menunjukkan Malaysia akan mengadakan 88 acara perniagaan, dijangka menarik 104,834 perwakilan dengan sumbangan ekonomi RM1.47 bilion bagi 2023-2030.
“Bulan ini saja, ada banyak acara perdagangan antarabangsa utama akan berlangsung dengan sekurang-kurangnya 10,000 peserta pameran antarabangsa, pelawat dan perwakilan dijangka masuk ke Malaysia.”
Katanya, MyCEB bekerjasama dengan jabatan imigresen untuk menyediakan laluan pantas untuk acara perniagaan bagi pelawat yang menyertai acara perniagaan di Malaysia.
“Ia langkah yang baik, tetapi banyak lagi perlu dilakukan. Penyelarasan ini tidak termasuk semua pengembara perniagaan kerana senarai nama perlu diserahkan sebulan sebelum acara.
“Kami berharap insiden di lapangan terbang itu tidak akan menjejaskan imej kami atau menyebabkan pelawat acara perniagaan tidak ke Malaysia.
“Malah, kami teruja untuk menganjurkan lebih banyak acara perniagaan antarabangsa, terutama dalam proses pemulihan ekonomi negara,” katanya. – 6 Julai, 2023.
Komen