Jakoa perkenal sistem iDAMAK untuk banci Orang Asli


Sistem bancian iDamak diperkenalkan Jakoa diharapkan dapat membantu menyedarkan masyarakat Orang Asli mengenai kepentingan untuk berusaha keluar daripada kepompong kemiskinan tegar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Julai, 2023.

SISTEM bancian iDamak yang diperkenalkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) diharapkan dapat membantu menyedarkan masyarakat Orang Asli mengenai kepentingan untuk berusaha keluar daripada kepompong kemiskinan tegar.

Penghulu Kampung Orang Asli Lubok Legong, Baling Razali Kulim berkata sistem iDamak itu mempunyai rangka kerja yang bagus dan tersusun dalam usaha membantu mengenal pasti keperluan masyarakat berkenaan.

“iDamak yang diwujudkan Jakoa ini merupakan satu cara untuk mengumpul maklumat dan data…bagaimanapun apa yang boleh saya katakan, sistem ini tidak 100 peratus dapat membantu menoktahkan kemiskinan dalam kalangan masyarakat Orang Asli.

“...ini kerana kerajaan banyak membantu dan memberi peluang kepada mereka dengan menawarkan kursus serta kemahiran, tetapi hanya segelintir dapat menerimanya manakala yang lain masih selesa dengan gaya hidup yang sama seperti ahli keluarga terdahulu,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sehubungan itu Razali berharap kerajaan dapat mencari formula atau kaedah yang berkesan untuk menyedarkan masyarakat Orang Asli mengenai keperluan bertindak menoktahkan kemiskinan tegar dengan usaha sendiri menerusi bantuan kerajaan, selain sistem iDamak itu.

“Masyarakat Orang Asli perlu tahu tentang apa itu kemiskinan dan kepentingan untuk mereka keluar daripada belenggu tersebut demi masa depan ahli keluarga terutama anak-anak mereka,” katanya.

Sementara itu Pegawai Daerah Baling Mohd Shahadan Abdullah berkata beliau optimis sistem berkenaan dapat membantu mengenal pasti keperluan masyarakat Orang Asli sekali gus mengupayakan mereka dalam meningkatkan taraf hidup.

“Saya tidak boleh beri kenyataan terburu-buru mengenai sistem ini (secara keseluruhan) kerana dengan masyarakat Orang Asli ini banyak program yang dijalankan tetapi masih belum boleh menoktahkan kemiskinan, jadi kena lihat isi kandungan, perincian dan perlu berbincang dengan Jakoa juga.

“Bagaimanapun apa juga sistem atau program yang dianjurkan oleh kerajaan dalam membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat Orang Asli, memang kita sokong dan akan ambil peluang sebanyak mungkin,” katanya.  – Bernama, 6 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen