Batalkan peraturan baharu pelantikan ejen pilihan raya


KENYATAAN Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminta calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti mesti mengemukakan nama ejen tempat mengundi dan agen mengira undi pada hari penamaan calon mengejutkan semua pihak.

Ini kerana ia tidak pernah termaktub dalam undang-undang dan peraturan pilihan raya yang dibuat oleh SPR dan kerajaan sendiri.

Tindakan ini merupakan peraturan yang mahu diperkenalkan oleh SPR sendiri yang sebenarnya menimbulkan pelbagai masalah kepada calon-calon yang bertanding dan juga ejen yang dilantik oleh calon itu sendiri.

Calon-calon sudah tentu menghadapi masalah untuk menamakan sebegitu ramai ejen yang perlu bertugas pada hari pengundian kerana jumlahnya yang agak ramai di mana setiap saluran memerlukan sekurang-kurangnya dua atau tiga orang.

Bayangkan jika calon tersebut bertanding di sesebuah kawasan parlimen yang banyak Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan jumlah pengundi yang ramai yang menyebabkan bilangan saluran di setiap PDM bertambah.

Sebagai contoh, kawasan Parlimen Kota Melaka yang dikatakan mempunyai bilangan pengundi sehingga 120,000 selepas persempadanan baru kawasan pilihan raya diluluskan, sudah tentu mempunyai banyak PDM dan saluran. Sudah tentu jumlah ejen yang diperlukan akan melebihi 500 orang untuk kawasan Parlimennya.

Ada PDM yang mempunyai sehingga lebih lima saluran dan ini sudah tentu menyukarkan calon untuk mengenal pasti nama-nama ejennya dua atau tiga hari sebelum hari penamaan calon.

Sudah menjadi amalan yang biasa ejen tempat mengundi dan mengira undi akan tampil selepas hari penamaan calon kerana bagi mereka semangat hanya datang selepas hari penamaan calon iaitu selepas mereka mengetahui siapa calon yang akan bertanding di sesuatu kawasan pilihan raya tertentu.

Pada kebiasaannya calon itu sendiri akan diumumkan pada saat-saat akhir, dalam masa dua atau tiga hari sebelum hari penamaan calon, dan sudah tentu seseorang calon itu tidak sempat untuk mencari dan melatih ejennya yang begitu ramai. Maka sudah tentu calon berhadapan dengan masalah besar.

Selain itu pelantikan ejen tempat mengundi, borang dan ejen mengira undi pada hari penamaan calon juga menimbulkan masalah kerana mereka akan terdedah kepada banyak perkara yang tidak baik yang mungkin dilakukan kepada mereka.

Antaranya mereka mungkin disogok supaya tidak datang bertugas pada jadual yang ditetapkan ataupun diminta bertugas secara sambil lewa dan membiarkan sahaja apa-apa penyelewengan yang mungkin berlaku.

Masa yang lama antara hari penamaan calon dan hari pengundian memungkinkan perkara tidak baik ini berlaku. Pihak tertentu yang berniat jahat akan mempunyai masa yang panjang untuk melakukan ugutan, sogokan dan sebagainya.

Peraturan ini juga sebenarnya menambahkan lagi persepsi buruk terhadap SPR kerana ramai pihak beranggapan SPR mempunyai agenda tertentu yang tidak baik di samping memberikan kelebihan kepada pihak yang berkuasa dan mempunyai kemampuan kewangan yang banyak.

Peraturan sedia ada tentang pelantikan ejen tempat mengundi dan mengira undi dikira sudah menjadi amalan terbaik dan memudahkan calon dan ejennya.

Janganlah kita mengubah peraturan yang sudah digunakan puluhan tahun dan ia terbukti berkesan dan tidak perlu kepada penambahbaikan yang sebenarnya menyusahkan dan menyulitkan pihak tersebut.

Oleh itu, saya mengharapkan SPR membatalkan peraturan yang tidak memberikan impak positif kepada sistem pilihan raya ini demi memberikan keadilan dan kesempatan kepada calon-calon dan parti-parti yang bertanding bersedia sepenuhnya.

Tiada gunanya SPR memperkenalkan undang-undang dan peraturan baru jika ia tidak memberikan kebaikan dan keadilan kepada parti politik dan rakyat terbanyak. – 26 Mac, 2018.

* Mohd Sofi Abdul Wahab ialah timbalan pengerusi Amanah Melaka.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen