BN bincang keputusan MCA, MIC tidak tanding PRN, kata Zahid


Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata Majlis Tertinggi parti akan membincangkan keputusan MCA dan MIC untuk tidak bertanding dalam enam pilihan raya negeri (PRN). – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Julai, 2023.

MAJLIS tertinggi Barisan Nasional (BN) akan membincangkan keputusan MCA dan MIC untuk tidak bertanding dalam enam pilihan raya negeri (PRN) pada mesyuaratnya 10 Julai ini, kata Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi parti itu berkata Presiden MCA Dr Wee Ka Siong menghubunginya malam tadi untuk memaklumkan mengenai keputusan jawatankuasa pusat parti itu untuk tidak bertanding.

Timbalan perdana menteri berkata beliau membaca kenyataan Setiausaha Agung MIC RT Rajasekaran mengenai keputusan parti itu untuk tidak mengambil bahagian dalam PRN.

“Sebagai pengerusi parti saya menghormati keputusan yang dibuat oleh kedua-dua parti tersebut. Bagaimanapun kita akan membincangkan lebih lanjut perkara itu pada mesyuarat Majlis Tertinggi BN pada 10 Julai,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Putrajaya hari ini. 

Zahid enggan mengulas sama ada BN akan memujuk kedua-dua komponen itu untuk memikirkan semula keputusan mereka.

Beliau berkata MCA dan MIC diperuntukkan kerusi untuk bertanding dalam PRN tetapi BN akan mengekalkan kerusi itu jika kedua-dua parti itu memilih untuk melepaskannya.

Zahid tidak menyatakan berapa banyak kerusi yang diperuntukkan kepada kedua-dua parti itu.

“Mereka juga memberikan komitmen untuk terus memberi kerjasama dan akan berkempen semasa pilihan raya.

“Tiada masalah dalam hubungan kami dengan MCA dan MIC; mereka akan membantu untuk berkempen. Cuma mereka membuat keputusan untuk tidak bertanding,” katanya.

Semalam MCA dan MIC berkata mereka tidak akan mengambil bahagian dalam PRN yang akan diadakan di enam negeri pada 12 Ogos ini.

Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon berkata jawatankuasa pusat parti membuat gesaan itu.

“Keputusan ini dicapai selepas perbincangan dan analisis mendalam serta mengambil kira situasi politik semasa di mana parti itu akan melakukan reformasi.

“Dalam tempoh ini MCA akan lebih menumpukan kepada persediaan menghadapi pilihan raya umum (seterusnya),” kata Chong dalam satu kenyataan selepas mesyuarat itu.

Dalam satu kenyataan berasingan Setiausaha Agung MIC Rajasekaran berkata jawatankuasa kerja pusat parti memutuskan parti itu tidak akan mengambil bahagian dalam PRN.

Beliau berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat 30 Jun lalu.

Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan baru-baru ini mengumumkan pembahagian kerusi untuk pilihan raya sudah dimuktamadkan. Tetapi Rajasekaran menafikan perkara ini dibincangkan oleh majlis tertinggi BN.

“Kami menyampaikan keputusan kepada perdana menteri sebagai pengerusi kerajaan Madani. Kami akan menggunakan peluang ini untuk menyediakan infrastruktur kami untuk pilihan raya umum (yang akan datang),” katanya. – 6 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen