SEKURANG-KURANGNYA 24 maut termasuk kanak-kanak dalam insiden gas bocor di kawasan setinggan berhampiran Johannesburg semalam, kata pihak berkuasa.
Insiden itu berlaku di Angelo, berhampiran daerah Boksburg, timur Johannesburg.
“Setakat ini 24 kematian dilaporkan,” kata jurucakap agensi kecemasan William Ntladi.
Katanya, wanita dan kanak-kanak adalah antara mangsa terkorban.
Perkhidmatan kecemasan menerima panggilan pada 8 malam berkaitan laporan letupan gas, bagaimanapun ketika ketibaan anggota penyelamat di lokasi mendapati ia adalah kebocoran gas dari silinder yang mengandung gas beracun, kata Ntladi.
Dengan kadar pengangguran yang tinggi iaitu lebih 32%, Afrika Selatan menjadi tumpuan ribuan pelombong haram.
Sebelum ini, letupan lori tangki gas mengorbankan 41 mangsa dilaporkan pada malam Krismas tahun lalu apabila sebuah trak yang membawa gas petroleum cecair (LPG) tersangkut di bawah jambatan, mencetuskan kebocoran dan letupan.
Antara mangsa yang maut ialah orang ramai dan pegawai perubatan yang menghampiri tempat kejadian, sama ada untuk membantu atau melihat lori yang tersangkut. – AFP, 6 Julai, 2023.
Komen