2 wanita China terlibat insiden KLIA sudah pulang negara asal, kata SPRM


Kalidevi Mogan Kumarappa

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki setakat ini SPRM sudah mengambil keterangan seramai 14 orang orang termasuk Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Julai 2023.

DUA wanita China yang dikaitkan dengan kekecohan di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini sudah pulang ke negara asal, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.

Azam bagaimanapun berkata beliau tidak mengetahui sama ada kedua-dua wanita itu akan kembali semula ke negara ini.

“Dua saksi itu sudah kembali ke China, saya tidak tahu, dia akan kembali semula atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pemantapan Rakan Strategik Media SPRM di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata setakat ini SPRM sudah mengambil keterangan seramai 14 orang orang termasuk Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing.

Tiong dilapor mencetus kekecohan di Terminal 1 KLIA minggu lepas, bagi membantu seorang wanita warga China yang ditahan daripada memasuki Malaysia.

Mengakui beliau adalah menteri yang dilaporkan, Tiong berkata kehadirannya di sana telah mendedahkan rasuah di kalangan pegawai imigresen di lapangan terbang.

Tambahnya, beliau akan memberikan butiran terperinci kepada SPRM. Susulan dakwaan Tiong itu, Azam berkata perkara itu akan disiasat. – 5 Julai 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen