Dunia lihat cara Malaysia tangani kekecohan di KLIA, kata menteri Sarawak 


Desmond Davidson

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Abdul Karim Hamzah berkata ia akan menentukan sama ada ketibaan pelancong dari China menurun atau terus berkembang.– Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Julai, 2023.

CARA Malaysia menangani kekecohan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Tiong King Sing di KLIA baru-baru ini akan menentukan sama ada ketibaan pelancong dari China menurun atau terus berkembang, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Abdul Karim Hamzah.

“Seluruh dunia pelancongan sedang memerhati. Bukan sahaja dari China malah dari negara lain.

“Jika kita bertindak secara positif, saya percaya pelancong yang berhasrat untuk datang ke Malaysia akan menghargai bahawa tidak ada lagi masalah pada masa hadapan.

“Tetapi jika tiada tindakan diambil walaupun terdapat beberapa kebenaran bahawa pelancong dibuli dan wang diminta untuk masuk, maka ia mungkin memberi kesan kepada pelancongan,” kata Karim dalam reaksinya terhadap dakwaan bahawa Tiong telah menceroboh masuk ke KLIA untuk membantu seorang warga China yang telah dihalang masuk ke negara ini.

Tiong pada Jumaat lalu mengaku terlibat dengan kekecohan melibatkan pegawai imigresen KLIA berhubung warga China itu.

Beliau kemudiannya mendakwa berlaku amalan rasuah melibatkan pegawai imigresen di pintu masuk utama ke negara yang mana beliau mendakwa lawatannya ke lapangan terbang mendedahkan “budaya rasuah oleh beberapa pegawai, dan penyalahgunaan kuasa yang kronik”.

Beliau mendakwa pegawai imigresen meminta RM3,000 untuk membebaskan pengembara yang mereka tahan dan tambahan RM3,000 jika mereka mahu pulang ke negara asal dengan segera.

“Saya ingin tahu hasil siasatan, dakwaan menteri itu telah melampaui kuasanya dengan menceroboh kawasan keselamatan dan sebaliknya beliau pula mendakwa terdapat salah guna kuasa dan rasuah.”

Karim berkata jika Tiong melakukan kesalahan, tindakan perlu diambil dan dia perlu ditegur.

Beliau berkata jika terdapat sebarang kebenaran terhadap dakwaan Tiong mengenai salah guna kuasa dan rasuah, maka pihak berkuasa yang berkenaan perlu menjalankan siasatan menyeluruh.

“Perlu ada siasatan. SPRM dan polis harus memainkan peranan mereka dan menghentikan perkara karut ini di KLIA dan mana-mana pintu masuk negara, termasuk di Sabah dan Sarawak,” tambahnya.

Karim berkata ia tidak dapat dinafikan “terdapat sedikit keburukan di mana-mana”.

“Tangkap mereka”.

Katanya mereka ini tidak layak untuk berkhidmat sebagai penjawat awam. 

“Kita perlu ada kerajaan yang bersih.” – 5 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen