Kenyataan negara berbilang bangsa bertentangan perlembagaan adalah silap, kata peguam 


Menurut peguam, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad tersilap apabila mendakwa langkah mempromosi negara berbilang bangsa dan berbilang budaya adalah bertentangan dengan perlembagaan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Julai, 2023.

MANTAN perdana menteri Dr Mahathir Mohamad tersilap apabila mendakwa langkah mempromosi negara berbilang bangsa dan berbilang budaya adalah bertentangan dengan perlembagaan, kata peguam.

Christopher Leong berkata terdapat peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan melindungi perkara berkenaan, yang sehubungan itu juga dilihat memupuk budaya, etnik dan agama-agama lain.

“Contohnya Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan (kebebasan amalan agama-agama lain) dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutan yang menyatakan bahawa semua orang adalah sama di sisi undang-undang, dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata.

“Kewujudan masyarakat Malaysia berbilang bangsa, budaya, agama, dan bahasa adalah suatu rahmat, dan tidak ada asas untuk mengatakan bahawa kelebihan itu, kekayaan dan keindahannya, adalah bertentangan dengan perlembagaan,” kata bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia itu ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pengerusi bersama jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan Badan Peguam Andrew Khoo yang bersetuju dengan pandangan itu berkata Perlembagaan Persekutuan jelas mempromosi negara berbilang bangsa.

Beliau berkata Perkara 3 perlembagaan menyatakan bahawa ‘agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan harmoni di mana-mana tempat dalam Persekutuan dan Perkara 5 memberikan hak untuk menjalani kehidupan bagi semua.

“Perkara 8 melarang diskriminasi berdasarkan agama atau bangsa. Artikel 11 memberi kebenaran untuk bebas mengaku, mengamal dan menyebar agama bagi semua di Malaysia, Perkara 153 meletakkan kaum Melayu di Semenanjung dan penduduk asal Sabah dan Sarawak, dalam kedudukan istimewa dalam hubungan dengan kaum lain, dalam usaha mencapai keseimbangan yang adil dan saksama, dalam bidang pendidikan, pekerjaan dan perusahaan,” katanya.

Bagaimanapun katanya kepentingan bangsa lain tidak diabaikan, dan jika dilihat kepada definisi penduduk asal Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan Persekutuan sendiri, ia jelas merangkumi pelbagai etnik yang berbeza.

Peguam itu berkata bumiputera Sabah dan Sarawak juga menganut agama yang berbeza, dan paling penting sekali, tiada dalam cabang eksekutif, perundangan mahupun kehakiman kerajaan persekutuan, meletakkan syarat atau kewajipan khas berkaitan agama atau bangsa tertentu untuk menganggotainya.

Beliau seterusnya berkata Malaysia mengamalkan demokrasi sekular.

“Saya benar-benar sedih membaca laporan media mengenai apa yang dikatakan telah dituturkan oleh Dr Mahathir. Jika laporan itu tepat, maka dia (Dr Mahathir) bercanggah dengan kenyataan yang pernah dibuat dirinya sendiri sebelum ini,” katanya.

Khoo berkata pada Ogos 1996 Dr Mahathir ketika merasmikan Konvensyen Fujian Sedunia Kedua dan Pameran Pelaburan dan Perdagangan Malaysia-Fujian di Langkawi pernah berkata ‘rakyat Malaysia berasa bangga bahawa negara mereka adalah sebuah negara yang benar-benar berbilang kaum’.

Peguam itu berkata Dr Mahathir juga pernah dilaporkan berkata ‘semua kaum bukan sahaja menikmati hasil kestabilan tetapi mereka juga mendapat manfaat daripada pembangunan dan kemakmuran negara hasil daripadanya’.

“Sekali lagi, pada Februari 2019, Dr Mahathir dalam video Tahun Baharu Cina yang diedarkan oleh Pejabat Perdana Menteri ‘mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak mengambil mudah pemupukan hubungan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya, dengan berkata ia adalah sesuatu yang tidak mudah untuk dipelihara’.

Katanya Dr Mahathir seterusnya berkata ‘walaupun rakyat Malaysia bertuah kerana dapat menyambut pelbagai perayaan termasuk Tahun Baru Cina dengan harmoni dan aman, keadaan mungkin tidak selalu begitu kerana terdapat pihak yang cuba mengganggu harmoni untuk tujuan tertentu’.

Khoo seterusnya berkata catatan terbaharu Dr Mahathir mungkin boleh mecetus dan menggalakkan kewujudan kumpulan pelampau serta supremasi kaum dan agama di negara ini, yang akan mengakibatkan ketidakharmonian dan perpecahan kaum meningkat.

“Negara yang berpecah belah perkauman dengan kumpulan pelampau dan supremasi perkauman yang dipolitikkan dengan hebat boleh menghalang kemasukan pelaburan langsung asing, yang membawa kepada pembangunan ekonomi yang perlahan dan peluang pekerjaan yang berkurangan.

“Ini seterusnya akan menjadikan kita semua lebih miskin,” tambahnya. – Bernama, 5 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen