Calon BN Kedah mesti dikenali, diterima rakyat, kata Mahdzir


Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Mahdzir Khalid berkata kedudukandalam parti bukan kriteria utama untuk seseorang itu dipilih menjadi calon Barisan Nasional pada PRN Kedah akan datang. – Gambar Facebook, 4 Julai 2023.

KEDUDUKAN dalam parti bukan kriteria utama untuk seseorang itu dipilih menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN) Kedah akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Mahdzir Khalid berkata sebaliknya individu yang hendak dikemuka sebagai calon mesti dikenali dan dapat diterima oleh ahli parti serta masyarakat setempat.

“Sebab (faktor) calon itu sangat penting (untuk menang pilihan raya), jadi seseorang yang hendak dipilih sebagai calon mesti boleh diterima oleh masyarakat… kalau orang itu boleh diterima, sama ada dia ada jawatan dalam parti atau tak ada jawatan dalam parti, kita tak ada halangan…,” katanya ketika mengulas proses pemilihan calon BN Kedah bagi menghadapi PRN akan datang.

Beliau berkata BN juga mempunyai beberapa kriteria lain yang diambil kira sebelum seseorang individu dinamakan sebagai calon.

Mahdzir juga berkata pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri antara BN dengan Pakatan Harapan telah selesai dan senarai calon akan diumum kemudian.

Selain Kedah, lima negeri yang akan mengadakan PRN ialah Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan.

Terdahulu, Mahdzir menghadiri Majlis Memperingati Genap Setahun Derita Rakyat Iboi yang diadakan bagi memperingati bencana banjir aliran puing yang melanda Kampung Iboi dan kawasan sekitar Kupang di Baling pada 4 Julai tahun lepas.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen