Meta sedia kerjasama bendung jenayah dalam talian, kata Fahmi


Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mempengerusikan perjumpaan bersama Meta, SKMM dan PDRM di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini. – Gambar Facebook, 4 Julai 2023.

MENTERI Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil hari ini berkata pihak Meta Platforms Inc (Meta) menyatakan komitmen dan kesediaan bekerjasama erat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membendung jenayah dalam talian.

“Saya percaya  kerjasama yang terjalin membolehkan jenayah scam, judi dalam talian dan isu 3R di platform Meta dapat dikurangkan,” katanya katanya menerusi catatan di Facebook hari ini selepas mempengerusikan perjumpaan bersama Meta, SKMM dan PDRM di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Fahmi berkata pertemuan itu dilakukan susulan peningkatan kes penipuan, judi dalam talian dan isu 3R iaitu agama (religion), institusi Diraja (royalty) dan kaum (race) ketika ini.

“Kerugian yang ditanggung rakyat Malaysia bagi tempoh Januari - Mei 2023 menerusi platform Meta  (Facebook, Instagram, dan WhatsApp) mencecah hampir RM330 juta.

“Ini merupakan peningkatan 25% berbanding Januari hingga Disember 2022,” katanya.

Turut hadir timbalannya Teo Nie Ching, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital Ma Sivanesan,  Pengerusi MCMC Mohamad Salim Fateh Din, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Amiruddin Abdul Wahab, Ketua Polis Negara Razarudin Husain serta pengurusan tertinggi PDRM. – Bernama, 4 Julai 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen