AKTRES porno Stormy Daniels berkata beliau diugut supaya berdiam diri tentang tuduhannya mempunyai hubungan sulit dengan Presiden Donald Trump, seperti diperincikan dalam temu bual di stesen televisyen, semalam.
Daniels memberitahu Anderson Cooper menerusi program “60 Minutes” terbitan CBS, beliau mengadakan hubungan seks dengan Trump sekali pada 2006 dan diugut oleh seorang lelaki di tempat letak kereta di Las Vegas ketika bersetuju untuk bercerita tentang hal itu pada 2011.
Beliau memohon untuk dibebaskan daripada perjanjian persetujuan kerahsiaan yang ditandatangani sebelum pilihan raya presiden 2016 yang membawa Trump ke puncak kuasa, di mana Daniels dibayar AS$130,000 – membawa kepada tuduhan bahawa bayaran itu hasil sumbangan haram yang diterima dalam kempen Trump.
Ketika Cooper bertanya adakah beliau melakukan seks dengan Trump, Daniesl menjawab: “Ya.”
Katanya, beliau tidak tertarik kepada Trump dan tidak mahu mengadakan hubungan seks dengannya, tetapi: “Saya tidak kata tidak. Saya bukan mangsa,” kata Daniesl, menurut transkrip awal temu bual itu.
Daniels berkata beliau masih berhubungan dengan Trump selepas itu kerana menganggapnya sebagai urus niaga perniagaan kerana jutawan itu berkata akan cuba memasukkannya dalam siri realiti TV “The Apprentice” di mana Trump adalah hos rancangan berkenaan pada masa itu. – AFP, 26 Mac, 2018.
Komen