Kadar tarif air kekal, kata MB Selangor


Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata air adalah keperluan asas dan sebarang rancangan untuk menyemaknya perlu mendapat pengesahan pentadbiran negeri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Julai, 2023.

KERAJAAN Selangor tidak bercadang untuk menyemak semula tarif air di negeri itu, kata Amirudin Shari.

Menteri besar itu berkata air itu adalah keperluan asas dan sebarang rancangan untuk menyemaknya perlu mendapat pengesahan pentadbiran negeri.

“Sehingga kini kerajaan negeri tidak membuat sebarang keputusan mengenai semakan semula tarif air di Selangor.

“Tumpuan pentadbiran ini adalah untuk menyokong kesejahteraan ekonomi rakyat dan tidak membebankan mereka,” katanya.

Amirudin berkata negeri itu komited memastikan bekalan air kepada 8.4 juta penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya ditambah baik.

Kali terakhir negeri membenarkan semakan tarif adalah pada 2006.

Air Selangor mengenakan bayaran kepada pelanggan domestik pada kadar 57 sen setiap meter padu untuk 20m³ pertama; RM1.03 untuk 15m³ seterusnya dan RM2 untuk penggunaan melebihi 35m³.

Kenyataan menteri besar sementara itu dibuat berikutan gesaan daripada Air Selangor supaya tarif air disemak.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Abas Abdullah memberitahu pemberita petang ini bahawa tarif air perlu dinaikkan secara berperingkat bagi memastikan terdapat keseimbangan antara hasil dan perbelanjaan tahunannya.

Abas berkata Air Selangor mencatatkan RM2.45 bilion jumlah hasil tahun lepas berbanding lebih RM5.14 bilion dalam perbelanjaan operasi dan modalnya.

Sementara hasil tahun lalu menunjukkan peningkatan sebanyak 12.38 peratus berbanding 2021 (RM2.18 bilion), jumlah perbelanjaan syarikat melebihi jumlah hasil.

“Walaupun terdapat peningkatan dalam hasil, jumlah perbelanjaan (perbelanjaan operasi dan modal) melebihi jumlah hasil yang menunjukkan semakan tarif air selanjutnya adalah perlu untuk syarikat mencapai kemampanan kewangan,” katanya pada sidang media hari ini. – 4 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen