AMERIKA Syarikat (AS) mendakwa menembak jatuh pesawat penumpang Airbus A300 Iran pada tahun 1988 atas sebab keselamatan walaupun ketika itu Tehran dan Washington tidak berperang, kata penasihat kepada Menteri Luar Iran, Abbas Ali Kadkhodaei, kepada Sputnik.
Dalam kejadian pada 3 Julai 1988 kapal tentera laut AS Vincennes didakwa keliru dan tersilap mengenal pasti pesawat Airbus A300 yang terbang di ruang udara Teluk Parsi sebagai jet pejuang F-14 Iran lalu menembak jatuh pesawat itu dengan peluru berpandu menyebabkan 290 maut.
“Pihak berkuasa AS pada masa itu menyatakan tindakan oleh kapal tentera Vincennes itu merupakan tindakan pertahanan yang diperlukan walaupun tidak ada pengisytiharan perang antara kedua-dua negara dan Iran dan Amerika Syarikat tidak berperang,” kata Kadkhodaei.
Beliau berkata tindakan kapal penjelajah AS itu melanggar beberapa prinsip asas undang-undang antarabangsa dan oleh itu AS perlu bertanggungjawab.
Terdahulu awal hari ini Ketua Suruhanjaya Undang-undang dan Kehakiman Parlimen Iran, Mousa Ghazanfarabadi berkata setakat ini keluarga mangsa tidak menerima sebarang bantuan dan pampasan daripada AS.
Iran cuba mendakwa tentera AS yang terlibat dalam insiden itu secara sah namun percubaan ini gagal kerana organisasi antarabangsa berada di bawah kawalan AS, menurut Ghazanfarabadi. – Bernama, 4 Julai, 2023.
Komen