Presiden Senegal umum tidak bertanding semula


Presiden Senegal Macky Sall memutuskan tidak akan bertanding semula dalam pilihan raya presiden tahun depan sekali gus menamatkan spekulasi selama berbulan-bulan. – Gambar AFP, 4 Julai, 2023.

PRESIDEN Senegal Macky Sall memutuskan tidak akan bertanding semula dalam pilihan raya presiden tahun depan sekali gus menamatkan spekulasi selama berbulan-bulan.

Pengumuman itu dibuat pada Isnin menerusi televisyen selepas sekumpulan datuk bandar menandatangani petisyen pada Sabtu menggesa Sall untuk bertanding semula pada pemiilihan yang dijadual pada Februari, lapor Agensi Anadolu.

“Saya memutuskan untuk tidak menjadi calon dalam pilihan raya presiden 2024 walaupun Perlembagaan memberi saya hak untuk berbuat demikian,” katanya dalam ucapan yang dinanti-nantikan.

Spekulasi mengenai hasrat Sall mencetuskan bantahan sepanjang tahun lalu selepas pembangkang berkata bertanding untuk penggal ketiga adalah tidak mengikut Perlembagaan.

Pada Ahad, ketua pembangkang Ousmane Sonko menyeru penyokongnya untuk turun ke jalan raya jika presiden mengumumkan hasratnya untuk bertanding semula.

Sonko dijatuhi hukuman penjara dua tahun pada bulan lalu kerana didakwa telah “merosakkan belia.”

Sall, 61, mengambil alih kuasa pada 2012 dan memenangi pemilihan semula pada 2019.

Penyokongnya berhujah beliau masih layak secara sah untuk bertanding semula dalam pilihan raya di bawah Perlembagaan baharu yang dipinda pada 2016. – Bernama, 4 Julai, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen