Pusat beli-belah di Siberia terbakar, 37 maut


Pasukan bomba memadamkan api dalam insiden pusat beli-belah Winter Cherry di Kemerovo, Siberia terbakar, menyebabkan 37 maut setakat ini. – Gambar AFP, 26 Mac, 2018.

SEKURANG-KURANGNYA 37 terkorban sementara ramai lagi dilaporkan hilang, termasuk kanak-kanak dalam kebakaran pusat beli-belah yang sibuk di bandar industri di barat Siberia.

“Pada masa ini, kami mengesahkan 37 mangsa maut dalam kebakaran di pusat beli-belah Kemerovo,” kata jurucakap jawatankuasa siasatan Rusia.

Sementara itu, stesen televisyen Rusia memaparkan imej asap hitam menyelubungi pusat beli-belah Winter Cherry di Kemerovo, yang turut menyediakan perkhidmatan sauna, panggung wayang serta gelanggang boling dan ketika kejadian ia dilaporkan padat dengan pengunjung.

Terdahulu, pihak penyiasat melaporkan lima mangsa maut, termasuk seorang kanak-kanak, manakala 30 lagi cedera dan semua mangsa dibawa ke hospital.

Menurut agensi RIA Novosti, ketika jumlah kematian dilaporkan meningkat, sumber perkhidmatan penyelamat tempatan berkata, 69 orang, termasuk 40 kanak-kanak dipercayai masih hilang.

Sementara itu, jawatankuasa siasatan turut mengesahkan kemungkinan 35 mangsa masih hilang. – AFP, 26 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen