Pakatan-BN yakin menang 2 negeri Perikatan, kata Anwar


Perdana Menteri Anwar Ibrahim yakin PH akan dapat merampas 3 negeri dikawal PN pada PRN akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Julai, 2023.

PAKATAN Harapan (PH) dan Barisan Nasional (PH) bukan sahaja akan berjaya mengekalkan tiga negeri yang mereka tadbir tetapi ditambah dua negeri Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri kelak, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Pengerusi PH itu berkata ramalan itu berdasarkan sentimen pengundi dan perkembangan politik baru-baru ini. Tetapi beliau tidak menamakan dua negeri mana yang akan PN kalah.

“Insya-Allah, berdasarkan perkembangan semasa serta semua tinjauan yang dijalankan, saya jangkakan (PH) kekal kukuh di tiga negeri (sebelum ini dikuasai gabungan).

“Kami kini menumpukan kepada dua lagi negeri,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri forum di Putrajaya hari ini.

Daripada enam negeri yang akan mengadakan pilihan raya, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan diterajui PH manakala Kelantan, Terengganu dan Kedah ditadbir oleh PN.

Anwar berkata pengaturan kerusi untuk pilihan raya negeri akan datang antara PH dan BN sudah dimuktamadkan.

“Saya sudah berjumpa (Pengerusi BN Ahmad) Zahid (Hamidi). Rundingan kerusi (antara PH dan BN) telah dimuktamadkan.

“Setakat kini, tiada pertindihan kerusi antara PH dan BN. Bagaimanapun, kami menyediakan ruang kepada pemimpin PH dan BN di peringkat negeri di enam negeri untuk memberikan pandangan dan input mereka,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam mengumumkan akan mengadakan mesyuarat khas esok bagi membincangkan tarikh penting pilihan raya enam negeri.

Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak berkata mesyuarat itu susulan penerimaan notis pembubaran DUN Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh akan mempengerusikan mesyuarat itu untuk menetapkan tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon dan hari pengundian, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sidang media akan diadakan selepas mesyuarat itu. – 4 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen