BERIBU-RIBU anggota kesatuan sekerja perhotelan di California Selatan berhenti kerja pada pagi Ahad untuk menuntut gaji lebih tinggi serta manfaat pekerjaan yang lebih baik, ketika para pelancong mula berkunjung ke rantau itu untuk cuti 4 Julai, lapor Xinhua.
Mogok itu dijangka berlangsung empat hari sehingga cuti berakhir.
“Ahli kami menderita akibat Covid-19 dan kini akibat ketamakan bos mereka.
“Industri diselamatkan manakala pendapatan kami dipotong. Kini, perunding memutuskan untuk mengambil cuti empat hari daripada berunding. Memalukan,” kata presiden bersama UNITE HERE Local 11, Kurt Petersen.
UNITE HERE sebuah kesatuan yang mewakili lebih daripada 32,000 pekerja perhotelan dan bidang berkaitan di California Selatan dan Arizona.
Sehingga 15,000 pekerja menyertai mogok yang menjejaskan 65 hotel utama, termasuk Ritz-Carlton, Hilton, Marriott dan Four Seasons yang terletak di Los Angeles dan daerah Orange.
Tindakan itu merupakan mogok terbesar dalam sejarah di wilayah itu, yang membabitkan beberapa pekerja hotel, berlaku ketika cuti hujung minggu paling sibuk tahun ini.
Klip video yang disiarkan dalam talian menunjukkan anggota kesatuan yang memakai baju-T merah berhimpun seawal 6.30 pagi, di luar Hotel InterContinental Los Angeles Downtown, sebuah daripada hotel terbesar di rantau itu.
Sebuah lagi hotel besar, Westin Bonaventure Hotel mencapai perjanjian dengan pekerja dan mengelak tindakan mogok.
Dalam hantaran Instagram pada pagi Ahad, kesatuan itu berkata, “Apabila hak pekerja diancam, apa yang kita lakukan?”
Menurut Persatuan Hotel Los Angeles, hotel tetap dibuka dengan pengurusan dan kakitangan bukan kesatuan yang lain akan mengambil alih sekiranya mogok itu diteruskan. – Bernama, 4 Julai, 2023.
Komen