Raja Thai rasmi sidang Parlimen untuk pilih PM baharu


Raja Maha Vajiralongkorn berkenan merasmikan sesi Parlimen baharu yang akan melantik perdana menteri baharu dan membentuk kerajaan. – Gambar AFP, 4 Julai, 2023.

RAJA Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn berkenan merasmikan sesi Parlimen baharu yang akan melantik perdana menteri baharu dan membentuk kerajaan.

Vajiralongkorn memberitahu ahli Parlimen yang baru dipilih: “Bagaimana negara ini akan maju bergantung kepada kebajikan, kebijaksanaan, kebolehan, kejujuran, dan kesucian dalam tugas anda yang mengutamakan kepentingan negara dan orang ramai,” Agensi Anadolu memetik Bangkok Post.

Beliau menggesa ahli Parlimen agar sentiasa ingat mereka berkhidmat sebagai wakil rakyat di seluruh negara.

Parti Move Forward merupakan anggota utama dalam gabungan lapan parti dengan memenangi 313 kerusi – menandatangani perjanjian bagi membentuk agenda bersama dalam usaha membentuk kerajaan seterusnya selepas memenangi majoriti kerusi dalam pilihan raya umum pada 14 Mei.

Parti lain dalam gabungan itu adalah Pheu Thai, Thai Sang Thai, Prachachat, Seri Ruam Thai, Pheu Thai Ruam Palang, Parti FAIR dan Plung Sungkom Mai.

Satu memorandum persefahaman di antara lapan parti yang diketuai MFP menetapkan matlamat penting, termasuk reformasi perlembagaan, pengiktirafan perkahwinan sejenis, membina keamanan mampan di wilayah sempadan selatan, dan penambahbaikan sistem kehakiman demi memastikan keadilan dan ketelusan. – Bernama, 4 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen