DAP bukan ancaman kepada kerajaan Anwar, kata Loke


Setiausaha Agung DAP Anthony Loke turut mengingatkan Dr Mahathir Mohamad yang parti itu pernah menyokongnya ketika beliau menerajui kerajaan Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Julai, 2023.

DAP mengecam kenyataan Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa kedudukan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri terancam kerana bilangan ahli Parlimen parti itu yang ramai dalam kerajaan. 

Setiausaha agungnya Anthony Loke mengingatkan Dr Mahathir yang parti itu menyokongnya ketika beliau menerajui kerajaan Pakatan Harapan dari 2018 hingga 2020 sebelum ia tumbang berikutan Langkah Sheraton.

“Apakah beliau sudah lupa bahawa semasa beliau menjadi perdana menteri dari Mei 2018 sehingga Februari 2020, beliau didokong oleh 42 ahli Parlimen DAP? Adakah DAP pernah menarik sokongan daripada beliau atau mengugut kedudukannya?” Soal Loke dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Mahathir awal hari ini dalam satu kenyataan mendakwa kerajaan Anwar terpaksa mengikut telunjuk DAP untuk memastikan kelangsungannya.

“Ya, DAP hanya ada empat menteri. Tetapi dalam kerajaan, terdapat 40 ahli Parlimen DAP. Jika DAP tarik balik sokongannya, kerajaan Anwar akan tumbang,” katanya.

“Sebab itu Anwar perlu mengikut manifesto DAP, khususnya menjadikan Tanah Melayu berbilang kaum dan menggantikan agama rasmi Islam dengan negara sekular dan negara tanpa agama rasmi,” dakwa Dr Mahathir.

Bekas ahli Parlimen Langkawi itu juga mendakwa adalah melanggar Perlembagaan mempromosikan negara berbilang kaum.

Beliau berkata ini kerana Perlembagaan Persekutuan tidak pernah menyebut Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum.

“Saya hanya bangkitkan peruntukan Perlembagaan. Adakah melanggar undang-undang untuk mempertahankan Perlembagaan?

“Sebaliknya, apa yang bertentangan dengan Perlembagaan ialah mempromosikan negara berbilang kaum.

“Adakah kerajaan menentang kedaulatan undang-undang - termasuk Perlembagaan - yang tidak menyebut Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum? Sebaliknya, Perlembagaan menekankan Melayu-Malaysia,” kata Dr Mahathir.

Loke menegaskan Malaysia terkenal sebagai sebuah negara berbilang kaum yang aman.

“Mengapa hari ini beliau sanggup mengambil satu pendirian yang begitu bermusuhan dengan masyarakat berbilang kaum di Malaysia?” Soal Loke.

“DAP tidak akan bermusuhan dengan mana-mana kaum. Kita akan terus berkhidmat demi negara dan memainkan peranan untuk membina sebuah masyarakat yang bersatu padu berasaskan prinsip-prinsip Rukun Negara,” katanya.

Loke berkata dakwaan Dr Mahathir itu tidak berasas dan DAP tidak akan sekali-kali mengugut Anwar untuk menukar status Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

Tegasnya, ahli Parlimen DAP akan mempertahankan peruntukan asas dalam Perlembagaan Persekutuan yang memasukkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan pada masa sama hak untuk agama lain diamalkan secara aman seperti termaktub dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“DAP tidak pernah dan tidak akan mempersoalkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – 3 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen