7 mayat mangsa tragedi kepala air ditemukan, 1 lagi masih hilang


Polis Terengganu berkata kesemua tujuh mayat berkenaan ditemukan di sektor A dan B di kawasan seluas 25km dari lokasi kejadian. – Gambar Facebook, 3 Julai, 2023.

SEBANYAK tujuh lagi mayat mangsa lemas tragedi kepala air di Jeram Air Putih, di Chukai berjaya ditemukan hari ini, menjadikan keseluruhan sembilan mayat mangsa dijumpai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) setakat ini.

Tiga daripada daripada mayat itu disahkan identitinya sebagai Putri Aryana Umaira Karim, 4, Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Nurerina Natasya Karim, 10, manakala satu lagi mangsa masih hilang.

Ketua Polis Terengganu Mazli Mazlan berkata kesemua tujuh mayat berkenaan ditemukan di sektor A dan B di kawasan seluas 25km dari lokasi kejadian. 

“Kesemua mereka ditemukan antara pukul 11 pagi hingga 1 tengah hari tadi dalam keadaan tersangkut pada dahan pokok, terapung di permukaan air dan di pinggir sungai. 

“Keseluruhannya, dua mayat lelaki dewasa, satu wanita dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan ditemukan hari ini. Bagaimanapun, empat daripada mereka masih belum dapat disahkan identiti,” katanya pada sidang media di Pusat Kawalan Operasi di Balai Polis Air Putih, di Chukai hari ini.

Menurutnya setakat ini, kawasan pencarian meliputi sebanyak 25km daripada keseluruhan jangkaan 32km radius operasi SAR. 

Mazli berkata keadaan cuaca yang baik dengan arus sungai yang semakin perlahan membantu memudahkan operasi pencarian yang kini diteruskan bagi mengesan seorang lagi mangsa.

Semalam, media melaporkan 10 individu dengan sembilan daripadanya adalah sekeluarga berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang manakala seorang lelaki dari Batu Pahat, Johor dipercayai tunang kepada seorang daripada ahli keluarga itu datang ke Jeram Air Putih di Chukai untuk berkelah pada Sabtu, sebelum dihanyutkan arus deras fenomena itu.

Dua mayat pertama ditemukan orang ramai tengah hari semalam iaitu Azizah Eiyi, 40, dan anaknya Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11. – Bernama, 3 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen