GABUNGAN Kesatuan Sekerja Korea (KCTU), kesatuan buruh terbesar Korea Selatan melancarkan mogok umum selama dua minggu untuk membantah dasar buruh kerajaan pimpinan Presiden Yoon Suk Yeol.
Pengerusi KCTU, Yang Kyung Soo, mengisytiharkan permulaan mogok di bawah slogan, “Undur kerajaan Yoon Suk Yeol,” dalam sidang media di hadapan pejabat presiden, lapor Agensi Berita Yonhap.
Mogok yang berlangsung hingga 15 Julai itu bertujuan untuk mendapatkan sokongan orang ramai terhadap gesaannya supaya kerajaan Yoon digulingkan, menuntut kenaikan gaji minimum dan menghentikan dasar antiburuh kerajaan.
Kesatuan itu menganggarkan lebih 400,000 daripada 1.2 juta ahlinya akan menyertai mogok tersebut namun mendakwa tindakan kolektif berkenaan dijangka tidak akan menyusahkan orang ramai kerana penyertaan setiap industri akan dihadkan kepada satu atau dua hari.
Menurut KCTU, kesatuan sekerja Hyundai Motor akan melancarkan mogok pada 12 Julai, bersama-sama Kesatuan Sekerja Keluli Korea. Kesatuan sekerja perkhidmatan bungkusan akan melancarkan mogok hari ini.
Kesatuan sekerja perubatan turut berikrar mengadakan mogok mulai 13 Julai.
Semasa mogok dua minggu, kesatuan buruh juga merancang untuk mengadakan perhimpunan menyalakan lilin pada waktu petang di seluruh negara selain menuntut peletakan jawatan kerajaan Yoon.
Yang menuduh kerajaan Yoon “menghancurkan” mata pencarian rakyat, demokrasi dan sektor buruh. – Bernama, 3 Julai, 2023.
Komen