SEEKOR gajah yang dihadiahkan kepada Sri Lanka pada 2001 selamat tiba di Thailand semalam susulan aduan yang dibuat oleh kumpulan hak asasi haiwan mengenai kemungkinan berlakunya penganiayaan terhadap mamalia itu.
Selepas lima jam penerbangan Sak Surin yang berusia 29 tahun itu tiba di Chiang Mai kira-kira pukul 2 petang Ahad.
Menurut kenyataan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Sak Surin seberat 4,000 kilogram diangkut dengan treler ke Pusat Pemuliharaan Gajah Thailand (TECC) di Lampang untuk diberikan rawatan perubatan dan menjalani kuarantin selama 30 hari.
Gajah jantan itu diletakkan di dalam peti keluli gergasi yang dibina khas sebelum diangkut oleh pesawat kargo dan berlepas dari lapangan terbang di Colombo pada Ahad pagi.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Varawut Silpa-archa turut berada di lapangan terbang.
Sejurus tiba doktor haiwan melakukan pemeriksaan kesihatan ke atas gajah itu dan keadaannya dilaporkan normal.
Kerajaan Thailand memperuntukkan 19.5 juta baht untuk membawa pulang Sak Surin.
Sak Surin, satu daripada tiga ekor gajah yang dihadiahkan oleh Thailand kepada Sri Lanka sebagai duta muhibah.
Bagaimanapun tahun lalu kumpulan hak asasi haiwan membuat aduan yang mendakwa gajah itu dianiaya, mengakibatkan kesihatannya merosot.
Media melaporkan Sak Surin yang juga dikenali sebagai Muthu Raja didapati sakit ketika diselamatkan pada tahun lepas.
Gajah itu dikataka dipaksa bekerja dengan kru pembalakan dan mengalami kecederaan tetapi tidak dirawat dan diabaikan. – Bernama, 3 Julai, 2023.
Komen