PIHAK berkuasa Bahrain hari ini mengumumkan untuk mengambil beberapa langkah menjejak pembangkang yang menggunakan media sosial.
Langkah itu sehubungan dengan meningkatnya cengkaman pihak diraja dalam politik negara itu.
Laman media sosial, terutamanya Twitter menjadi ruang utama aktivis hak asasi dalam negara beraja itu, yang menurut Amnesty International telah menarik ramai pembangkang ke mahkamah yang tidak adil.
Menteri dalam negeri Sheikh Rashid bin Abdullah al-Khalifa berkata, kerajaan mengambil “langkah untuk menangani kekacauan oleh pengguna media sosial,” dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Agensi Berita Bahrain.
Bagaimanapun kementerian itu tidak memetik mana-mana pemilik akaun, namun berkata beberapa akaun telah dikenal pasti oleh pihak berkuasa kerana “menyebarkan khabar angin yang menyerang dan menyentuh keamanan masyarakat sivil.”
Pihak berkuasa Bahrain berfahaman ahli Sunnah yang terletak antara Arab Saudi dan Iran itu telah memenjarakan berdozen aktivis selain membubarkan kumpulan pembangkang sekular dan agama sejak protes pro-demokrasi pada 2011.
Kerajaan Bahrain menuduh pihak berkuasa Iran mendalangi pergerakan protes itu dengan matlamat mahu menjatuhkan negara beraja itu.
Tehran, bagaimanapun menafikan tuduhan campur tangan itu. – AFP, 25 Mac, 2018.
Komen