Tragedi kepala air: Hari ke-2 operasi SAR disambung


Mayat Azizah Eiyi, 40, yang ditemukan terapung sejauh 24 kilometer (km) dari lokasi kejadian dibawa ke hospital untuk dibedah siasat. – Gambar Facebook, 3 Julai, 2023.

OPERASI hari kedua mencari dan menyelamat (SAR) lapan lagi mangsa yang masih hilang dalam kejadian kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, dekat Chukai diteruskan pada 9 pagi ini. 

Tujuh daripada mangsa merupakan daripada keluarga yang sama iaitu Karim Abdullah, 39; Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah Karim, 16; Putri Nor Fatin Karim, 14; Putri Nurerina Natasya Karim, 10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.

Seorang lagi individu yang hilang adalah tunang kepada Putri Balqis Izzati iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24, dari Batu Pahat, Johor yang turut serta dalam perkelahan keluarga pada Sabtu, yang berakhir dengan tragedi kepala air, semalam. 

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan dilaporkan berkata dua mayat pertama ditemukan orang ramai pada 12.30 tengah hari semalam iaitu Azizah Eiyi, 40, dan anaknya Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, sebelum melaporkannya kepada pihak polis.

Mayat Azizah ditemukan terapung sejauh 24 kilometer (km) dari lokasi kejadian dengan polis mengambil kira kedudukan penemuan sebuah kereta jenis Proton Gen 2 dinaiki keluarga malang itu sebagai titik awal insiden.

Mayat Muhammad Zulqarnain Haikal pula ditemukan 2km dari lokasi kejadian dalam keadaan tersangkut pada dahan pokok selepas dihanyutkan arus deras, dengan paras air dikatakan naik lima hingga 10 meter akibat fenomena itu.

Selain kereta tersebut turut ditemukan ialah sebuah motosikal jenis SYM yang dinaiki Muhammad Fikri dan tunangnya. 

Semalam operasi SAR dihentikan pada 6 petang ekoran hujan lebat yang menyukarkan pencarian selain berisiko kepada pasukan pencarian yang dijalankan oleh polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selain turut dibantu orang awam. 

Hanyan berkata sehingga 10 malam semalam, tiada sebarang petunjuk atau penemuan baharu mengenai kedudukan baki mangsa yang masih hilang berjaya dibuat pasukan pencarian. 

Pada operasi hari ini pasukan akan memulakan pencarian pada radius 8km dari lokasi kejadian di kiri dan kanan tebing jeram selain percaya mangsa mungkin dihanyutkan arus jauh dari lokasi mengambil kira tempat mayat Azizah ditemukan. 

Unit anjing pengesan K9 milik polis dan JBPM akan digerakkan hari ini bagi membantu memudahkan kerja pencarian dengan penambahan kekuatan pasukan SAR juga bakal dibuat di tiga fasa kawasan pencarian yang ditentukan mengikut kekuatan dan bantuan operasi pasukan SAR.

Semalam Bernama melaporkan 10 individu dengan sembilan daripadanya sekeluarga berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang datang berkelah di Jeram Mawar, di Chukai pada Sabtu sebelum dihanyutkan arus deras kepala air. – Bernama, 3 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen