Korea Selatan tunjuk tanda pemulihan dalam petunjuk ekonomi utama


Korea Selatan berusaha mencapai pemulihan ekonominya dengan segera memandangkan negara itu menunjukkan tanda-tanda pemulihan dalam petunjuk utama. – Gambar AFP, 3 Julai, 2023.

KOREA Selatan akan berusaha untuk mencapai pemulihan ekonominya dengan segera memandangkan negara itu menunjukkan tanda-tanda pemulihan dalam petunjuk utama, termasuk hasil pengeluaran industri dan eksport.

Data kerajaan menunjukkan pengeluaran output industri ekonomi meningkat 1.3 peratus pada Mei berbanding bulan sebelumnya dengan jualan runcit dan pelaburan kemudahan turut meningkat, lapor Agensi Berita Yonhap.

Korea Selatan melaporkan lebihan dagangan pada Jun buat kali pertama dalam tempoh 16 bulan walaupun penghantaran keluarannya merosot selama sembilan bulan berturut-turut disebabkan permintaan lemah terhadap semikonduktor.

“Walaupun risiko penurunan ekonomi Korea Selatan semakin berkurangan baru-baru ini, masih terdapat ketidakpastian termasuk kemungkinan kelewatan dalam pemulihan ekonomi China dan industri cip,” kata Menteri Kewangan Choo Kyung Ho semasa mesyuarat Kabinet pada Isnin.

Eksport utama negara bagi semikonduktor, merosot 28 peratus berikutan kejatuhan permintaan dan penurunan harga cip.

Choo berkata negara perlu terus berwaspada terhadap ketidakpastian luaran termasuk daripada pasaran kewangan global.

“Kerajaan akan sentiasa berwaspada dan tidak akan mengecualikan sebarang usaha untuk memastikan tren positif semasa dalam ekonomi dapat membawa kepada pemulihan segera dalam ekonomi Korea Selatan dan kestabilan dalam kehidupan rakyat,” kata Choo. – Bernama, 3 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen