Kerajaan Sweden kutuk tindakan bakar al-Quran


Salwan Momika mengoyakkan beberapa helai muka surat al-Quran di luar sebuah masjid di Stockholm, Sweden pada Jumaat lepas. – Gambar Facebook, 3 Julai 2023.

KERAJAAN SWEDEN semalam mengecam tindakan membakar al-Quran minggu ini di luar masjid utama Stockholm dengan menyifatkannya sebagai tindakan “Islamofobia”.

“Kerajaan Sweden memahami sepenuhnya bahawa tindakan Islamofobia yang dilakukan oleh individu semasa demonstrasi di Sweden boleh menyinggung perasaan umat Islam,” jelas Kementerian Luar dalam satu kenyataan.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan ini, yang sama sekali tidak mencerminkan pandangan kerajaan Sweden,” tambahnya.

Kecaman itu dibuat sebagai tindak balas kepada seruan untuk langkah kolektif untuk mengelakkan pembakaran al-Quran masa depan daripada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berpangkalan di Saudi.

Badan 57 anggota itu mengadakan persidangan di ibu pejabatnya di Jeddah untuk membincangkan perbuatan seorang warga Iraq yang tinggal di Sweden, Salwan Momika, 37, memijak kitab suci Islam itu dan mengoyakkan beberapa muka surat.

OIC menggesa negara anggota untuk “mengambil langkah bersatu dan kolektif untuk mencegah berulangnya insiden mencemarkan naskhah al-Quran”, menurut kenyataan yang dikeluarkan selepas persidangan.

“Membakar teks Al-Quran, atau teks suci mana-mana agama adalah tindakan yang menyinggung perasaan dan tidak menghormati serta provokasi yang jelas.

“Ungkapan perkauman, xenofobia dan sikap tidak bertoleransi yang berkaitan tidak mempunyai tempat di Sweden atau di Eropah,” tegas Kementerian Luar Sweden.

Kementerian itu pada masa sama menambah Sweden mempunyai “hak yang dilindungi oleh perlembagaan untuk kebebasan berhimpun, bersuara dan berdemonstrasi.”

Negara-negara termasuk Iraq, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu dan Maghribi memanggil duta Sweden bagi menyatakan bantahan terhadap insiden pembakaran al-Quran itu.

Semalam, Menteri Luar Iran Hossein Amir-Abdollahian berkata Iran menangguhkan penghantaran duta baharunya ke Sweden, Hojjatollah Faghani berikutan insiden berkenaan. – AFP, 1 Julai 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen