SEORANG penyebar propaganda terkemuka Rusia semalam mendakwa ketua Wagner “menyimpang dari landasan’ selepas menerima berbilion-bilion dana awam, ketika naratif baru Moscow terbentuk selepas pemberontakan singkat pasukan tentera upahan itu.
Hujung minggu lalu ketua kumpulan upahan Wagner, Yevgeny Prigozhin mengetuai pasukannya dalam pemberontakan jangka pendek menentang ketua tentera tertinggi Rusia dalam satu tindakan yang memalukan Kremlin.
“Prigozhin sudah menyimpang dari landasan kerana wang yang besar.
“Beliau berpendapat beliau boleh mencabar kementerian pertahanan, negara sendiri dan presiden secara peribadi,” kata Dmitry Kiselev, salah seorang individu utama jentera propaganda Rusia dalam rancangan televisyen mingguannya pada Ahad.
Kiselev berkata operasi Wagner di Syria dan Afrika memberikan Prigozhin perasaan bebas daripada hukuman yang kemudiannya diperkukuh oleh kejayaan pasukan itu di medan perang di timur Ukraine.
Tanpa memberikan sebarang bukti, Kiselev berkata Wagner menerima lebih daripada 858 bilion rubel (RM45.49 bilion) dalam dana negara.
Dalam pengakuan mengejutkan awal minggu ini, Presiden Vladimir Putin berkata buat pertama kali pihak berkuasa Rusia membiayai “sepenuhnya” pasukan separa tentera.
Antara Mei 2022 dan Mei 2023, Wagner menerima lebih 86 bilion rubel (RM4.56 bilion) dari negara Rusia, kata Putin.
Kumpulan tentera upahan persendirian diharamkan di bawah undang-undang Rusia.
Semalam Wall Street Journal melaporkan ejen dari Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan menyerbu ibu pejabat Kumpulan Wagner di St. Petersburg untuk mencari bukti terhadap Prigozhin.
Ibu pejabat itu pada Sabtu menyatakan ia sedang bergerak tetapi akan kekal beroperasi walaupun di bawah “format baharu.”
Disasarkan oleh sekatan dari Washington dan Brussels, Prigozhin selama bertahun-tahun beroperasi secara sembunyi tetapi kembali menjadi tumpuan sejak Putin menghantar tentera ke Ukraine pada Februari 2022.
Beliau juga menuduh tentera Rusia cuba “mencuri” kemenangan daripada Wagner di timur Ukraine dan menyelar “birokrasi dahsyat” Moscow kerana memperlahankan keuntungan tentera.
Prigozhin dibenarkan merekrut pejuang dari penjara dan pada Mac, ahli Parlimen Rusia meluluskan undang-undang yang memperkenalkan tempoh penjara yang panjang bagi mereka yang mengkritik “kumpulan sukarelawan” seperti Wagner.
Bulan lalu Prigozhin meninggalkan ibu pejabatnya di Moscow dan membuat perjanjian dengan Kremlin di mana dia menerima pengasingan di negara jiran Belarus.
Ramai pemerhati politik melihat percubaan Prigozhin dalam pemberontakan sebagai petanda cengkaman Putin terhadap kuasa semakin lemah. – AFP, 3 Julai, 2023.
Komen