Tragedi kepala air: Identiti 8 individu termasuk 7 sekeluarga dikenal pasti


Dua mayat tragedi itu iaitu Azizah Eiyi, 40, dan anaknya Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, ditemui orang awam pada pukul 12.30 tengah hari. – Gambar Facebook, 3 Julai, 2023.

IDENTITI lapan individu termasuk tujuh sekeluarga yang masih hilang dalam tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih dekat sini pada Ahad, dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Kemanan Supt Hanyan Ramlan berkata tujuh sekeluarga itu ialah Karim Abdullah, 39; Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah Karim, 16; Putri Nor Fatin Karim, 14; Putri Nurerina Natasya Karim, 10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.

Seorang lagi individu yang hilang merupakan tunang kepada Putri Balqis Izzati iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24, yang berasal dari Batu Pahat, Johor. 

Terdahulu polis menerima maklumat mengenai penemuan dua mayat tragedi itu iaitu Azizah Eiyi, 40, dan anaknya Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, daripada orang awam pada pukul 12.30 tengah hari.

“Identiti dua beranak itu dikenal pasti selepas pengecaman dilakukan ahli keluarga di Bilik Forensik Hospital Kemaman, malam ini.

“Keluarga berkenaan berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang datang ke jeram berkenaan sejak 2 petang semalam (Sabtu) untuk berkelah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di Chukai malam ini.

Mayat Azizah ditemukan terapung oleh orang ramai, dihanyutkan arus kira-kira 24 kilometer (km) dari tempat kejadian manakala Muhammad Zulqarnain Haikal tersangkut pada dahan pokok kira-kira 2 km dari tempat kejadian.

Beliau berkata pihaknya percaya Karim yang bekerja sebagai pemandu jengkaut di Hutan Air Putih di Chukai mahir dengan laluan di lokasi sehingga mampu untuk masuk ke kawasan itu menggunakan kenderaan yang kurang sesuai. 

“Bagaimanapun mereka mungkin tidak menyedari keadaan kepala air yang datang dengan deras secara tiba-tiba. Kalau tengok keadaan di lokasi tadi paras air dipercayai meningkat sebanyak lima hingga 10 meter sekali gus tidak sempat untuk melarikan diri ketika sedang mandi di situ,” katanya. 

Hanyan berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan kekuatan 50 anggota daripada pasukan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam dihentikan pada 6 petang tadi atas faktor cuaca dan akan disambung semula pada 8 pagi esok. 

“Setakat pukul 10 malam ini tiada sebarang penemuan baharu di lokasi kejadian. Radius kawasan pencarian kita pula seluas 24 km mengambil kira lokasi penemuan mayat pertama.

“Esok kita akan mula pencarian di tebing kiri dan kanan jeram sejauh 8 km. Polis percaya kemungkinan lokasi mangsa boleh berada jauh dari titik awal kejadian kerana dibawa arus kepala air yang deras,” katanya.

Beliau berkata pihaknya akan menggunakan khidmat anjing pengesan K9 milik polis dan JBPM selain akan membuat permohonan menambah kekuatan anggota operasi SAR termasuk bantuan daripada orang luar. 

“Malah kalau ada orang awam yang nak bantu pencarian pun kita amat galakkan, bagaimanapun perlu lapor diri terlebih dahulu di Balai Polis Air Putih. Diingatkan agar tidak membuat kerja pencarian tanpa pengetahuan polis,” katanya. 

Beliau berkata operasi SAR esok akan melibatkan tiga fasa kawasan pencarian mengikut kekuatan dan bantuan sedia ada operasi pasukan pencarian.

Beliau bagaimanapun berkata maklumat berhubung proses pencarian akan dimaklumkan esok dan operasi SAR itu bergantung sepenuhnya kepada faktor cuaca.

Dalam pada itu, katanya mayat Azizah dan Muhammad Zulqarnain Haikal akan dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu esok untuk bedah siasat. – Bernama, 3 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen