PRN: Pengundi di Singapura pilih undi pos


Noel Achariam

Sebahagian pengundi Malaysia yang berada di Singapura memilih untuk mengundi pos pada PRN enam negeri depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Julai, 2023.

RAKYAT Malaysia yang tinggal di Singapura tidak mahu pulang ke negeri mereka untuk mengundi pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang namun akan tetap menunaikan tanggungjawab mereka melalui undi pos.

Bercakap kepada The Malaysian Insight, kos, sukar mendapatkan cuti dan perlu mengurus pelbagai urusan perjalanan antara alasan mengapa mereka tidak mahu kembali ke negeri masing-masing.

Daniel Rajasingam Subramaniam, 29 yang bakal mengundi untuk Bukit Gasing, Petaling Jaya berkata dia tidak merancang untuk balik mengundi.

Pelajar pascasiswazah yang sudah berada di Singapura lebih setahun itu berkata pulang ke kampungnya untuk mengundi mungkin akan menjejaskan penganjiannya.

“Saya tak merancang balik untuk mengundi pada PRN memandangkan tarikhnya masih belum diumumkan lagi.

“Saya pun risau tarikh itu akan bertindih dengan kelas dan komitmen lain,” katanya.

Daniel, pelajar pascasiswazah yang sudah berada di Singapura lebih setahun itu berkata pulang ke kampungnya untuk mengundi mungkin akan menjejaskan penganjiannya. – Gambar The Malaysian Insight, 3 Julai, 2023.

Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan dan Kedah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing bagi memberi laluan kepada PRN yang dijangka bakal diadakan pada Ogos ini.

Pada PRU15 tahun lalu dilaporkan sebanyak 9,000 kertas undi dibawa balik dari Singapura.

Daniel turut berkata kos perjalanan balik juga merupakan isu.

“Lebih-lebih lagi kos perjalanan pada tarikh pengundian. Saya juga lebih yakin dengan sistem undi pos luar negara kali ini jadi saya mungkin pilih undi melalui pos,” katanya.

Bagi mengikuti perkembangan politik semasa, katanya media sosial menjadi platform terbaik bagi mendapatkan maklumat berkaitan PRN.

“Saya biasanya dapat berita daripada Instagram, Twitter dan Facebook.

“Saya rasa ini adalah PRN yang menarik dengan jajaran politik baharu selepas PRU, macam mana pengundi seiring dengan dinamik politik baharu ini,” katanya.

Kata Daniel, dia secara peribadi melihat pengundi di tempatnya lebih lantang dalam isu peringkat negeri seperti projek PJD Link dan berkaitan alam sekitar.

“Jadi, saya berharap dapat melihat parti kerajaan menggunakan pilihan raya ini sebagai peluang mereka untuk jelaskan isu ini dalam kempen mereka.

Menurut Daniel, dia sudah mendaftar sebagai pengundi pos pada pilihan raya umum November tahun lalu.

“Itu pertama kali saya di luar semasa musim pilihan raya jadi saya rasa macam terlepas kemeriahan suasana itu di kampung akhirnya saya balik ke Malaysia pada hari pengundian.

“Saya juga bimbang sama ada undi saya akan sampai tepat masa kalau saya buat undi pos memandangkan ada banyak isu dengan undi luar negara pada PRU14,” katanya.

Namun katanya, dia dapati proses pendaftaran undi luar negara ketika PRU lalu agak telus.

“Kebanyakan rakyat Malaysia yang saya kenal di Singapura tidak hadapi masalah dapatkan kertas undi mereka jadi saya rancang untuk undi pos saja bagi PRN kali ini,” katanya.

Chai Duwei yang bekerja sebagai pengurus teknologi maklumat di Singapura sejak empat tahun lalu berkata dia juga memilih undi pos.

Pemuda berusia 31 tahun itu bakal mengundi untuk Pandan Indah, Selangor.

“Saya tak fikir saya akan dapat cuti jadi saya mungkin akan pilih undi pos.

“Undi pos lagi mudah. Saya undi pos juga pada PRU15 lalu.

Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan dan Kedah membubarkan DUN masing-masing bagi memberi laluan kepada PRN yang dijangka bakal diadakan pada Ogos ini. – Gambar EPA, 3 Julai, 2023.

Susah dapat cuti

Chai berkata dia mengikuti berita berkaitan PRN itu melalui media sosial.

“Saya rasa PRN kali ini akan sangat sengit. Dengan kedua-dua pihak cuba meningkatkan pengaruh mereka di negeri yang status quo pro-Pakatan Harapan atau pro-Perikatan Nasional.

“Saya fikir banyak tumpuan akan diberikan kepada sama ada PN/PH akan dapat ubah beberapa negeri pada pilihan raya ini.

“Dengan penekanan kepada parti mana yang akan mengambil alih Selangor,” katanya.

KataNya lagi, agak menarik dapat melihat Muda menyertai PRN secara solo tanpa sebarang pakatan dengan parti lain.

“Menarik juga untuk lihat kali ini Muda bergerak solo, apa impak yang mereka boleh buat dan potensi mereka menjadi blok ketiga,” katanya.

E. Raja, 42 yang sudah berada di Singapura selama 19 tahun berkata dia juga juga memilih untuk undi pos.

Raja yang bekerja dalam industri penerbangan akan mengundi untuk Bukit Gasing, Petaling Jaya berkata dia tidak mendapat cuti untuk balik mengundi.

“Pada PRU15 lalu saya dapat cuti untuk balik mengundi tapi kali ini saya tak dapat cuti. Jadi sebab itu saya tak dapat balik untuk mengundi.

Juruterbang Matthew N. Kumar, 37 yang berada di Singapura selama 10 tahun berkata dia tidak akan balik mengundi ke Negeri Sembilan.

Kata Kumar, jiak dia dapat cuti dia mungkin akan balik untuk mengundi namun dia tidak yakin cutinya diluluskan.

“Kalau ada kemungkinan dan jika saya ada masa tapi ia bukan keutamaan untuk saya,” katanya.

Katanya lagi, dia mengikuti perkembangan PRN itu namun tidak secara keseluruhannya. – 3 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen