Pegawai menteri dakwa berbulan tak dapat gaji


Beberapa orang pegawai menteri mendakwa tidak menerima gaji sejak berbulan lamanya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Julai, 2023.

SETIAUSAHA akhbar kepada beberapa orang menteri mendakwa tidak menerima gaji sejak berbulan lamanya walaupun sudah bekerja sejak Kerajaan Perpaduan mula berkuasa pada November 2022, lapor Free Malaysia Today.

Laporan turut menyebut yang mereka tidak dibayar kerana surat pelantikan mereka belum ditandatangani.

Beberapa orang daripada mereka memberitahu FMT yang mereka tidak tahu punca kelewatan itu, menambah yang mereka tidak lagi mampu bekerja tanpa gaji dan mungkin akan meletak jawatan.

Bercakap atas dasar kerahsiaan, seorang pegawai berkata mereka tidak menerima langsung gaji tahun ini dan seorang lagi sedang mempertimbangkan untuk bekerja di sektor koroporat tetapi tidak mahu “meninggalkan menteri separuh jalan”.

“Saya hanya mendapat elaun apabila melakukan perjalanan ke luar. Jika tidak, saya hidup dengan wang simpanan yang saya rasa hanya mampu bertahan sehingga akhir tahun. Saya sangat seronok bekerja di kementerian, tetapi saya tidak fikir boleh bertahan sehingga Disember jika tiada gaji,” seorang pembantu menteri dipetik berkata.

Dipercayai kelewatan disebabkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim masih belum menandatangani surat pelantikan mereka.

“Saya tidak tahu kenapa berlaku kelewatan. Saya pun tidak tahu berapa banyak yang akan saya terima,” katanya lagi.

Seorang lagi pegawai berkata mereka sudah menghubungi Jabatan Perkhidmatan Awam menerusi setiausaha sulit kanan menteri tetapi diberitahu masih belum adalah kemajuan isu terebut.

Difahamkan yang isu tidak dibayar gaji itu bukan sahaja melibatkan setiausaha akhbar tetapi juga pegawai lain kementerian. – 2 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen