Polis Perancis bersedia kemungkinan insiden keganasan baharu 


Anggota polis meronda di jalan sekitar Paris pada 2 Julai 2023, lima hari selepas seorang remaja 17 tahun dibunuh oleh polis di Nanterre, pinggir barat Paris. – Gambar AFP, 2 Julai, 2023.

PIHAK berkuasa Perancis pada Sabtu menghantar tentera tambahan ke beberapa bandar untuk menangani rusuhan malam kelima ketika remaja berusia 17 tahun yang maut ditembak anggota polis yang mencetuskan protes ganas dikebumikan.

Polis menahan 1,311 orang sejak Jumaat hingga Sabtu, angka tertinggi sejak protes ganas bermula berhubung insiden tembakan Nahel M. di pinggir bandar Nanterre barat Paris pada Selasa.

Kumpulan remaja, yang dianjurkan di media sosial dan bersenjatakan bunga api, memecah masuk kedai dan menyerang dewan perbandaran di seluruh negara.

Menteri Dalam Negeri Gerald Darmanin memberitahu pemberita yang 45,000 anggota pasukan keselamatan akan dikerahkan pada Sabtu hingga Ahad—jumlah yang sama seperti malam sebelumnya.

Tetapi pasukan tambahan dan peralatan dihantar ke Lyon, Grenoble dan Marseille, yang menyaksikan rusuhan paling teruk pada malam sebelumnya.

Insiden berkurangan

Di Paris dan kawasan berhampiran, sebanyak 7,000 pegawai diarahkan keluar. Di Champs-Elysees, lokasi rangkaian kedai mewah, polis rusuhan mengawasi belia berpakaian hitam ketika mereka berjalan di sekitar kawasan itu petang Sabtu.

Terdapat gesaan dalam talian untuk berkumpul di sana sejak Jumaat.

Di Marseille, polis menyuraikan kumpulan belia petang Sabtu di Canebiere, jalan utama yang melalui pusat bandar, kata wartawan AFP.

Menjelang tengah malam, pihak berkuasa di Lyon dan Marseille melaporkan kurang insiden berbanding malam sebelumnya.

Beberapa bandar mengenakan perintah berkurung semalaman.

Protes kematian remaja itu, yang berasal dari Algeria, sekali lagi mendedahkan ketegangan perkauman yang teruk di Perancis, meningkatkan kritikan terhadap polis yang sekian lama dituduh membezakan minoriti.

Krisis itu merupakan perkembangan yang sangat tidak diingini bagi Presiden Emmanuel Macron, yang ingin meneruskan mandat keduanya selepas protes berbulan-bulan yang tercetus pada Januari berhubung kenaikkan umur pencen.

Keputusan beliau menangguhkan lawatan negara ke Jerman yang dijadualkan bermula Ahad membuktikan keseriusan krisis.

Upacara pengebumian Nahel diadakan di pinggir bandar Nanterre di Paris tempat tinggalnya, dengan ratusan berkumpul secara aman bersama ibu dan neneknya.

Satu upacara diadakan pada awal petang di masjid di Nanterre dengan pengkebumian berlangsung di tanah perkuburan Mont Valerien di kawasan itu.

Ia selesai pada 1530 GMT tanpa sebarang insiden, seorang saksi memberitahu AFP.

Dalam usaha untuk mengehadkan keganasan, bas dan trem di Perancis menghentikan beroperasi selepas 9:00 malam (1900 GMT) dan penjualan bunga api besar dan cecair mudah terbakar diharamkan.

Pihak berkuasa di Marseille bertindak lebih drastik  dengan menghentikan semua pengangkutan bandar mulai 6 petang, termasuk metro, dan melarang semua protes sehingga Ahad.

Pasukan polis dihantar ke bandar itu, termasuk kenderaan perisai dan dua helikopter.

Macron menggesa ibu bapa untuk bertanggungjawab terhadap perusuh bawah umur, satu pertiga daripadanya adalah “muda atau sangat muda”.

Menteri Kehakiman Eric Dupond-Moretti berkata pada Sabtu, 30% daripada mereka yang ditahan adalah di bawah umur manakala Darmanin berkata purata umur mereka yang ditahan hanyalah 17 tahun.

Pergolakan itu menimbulkan kebimbangan di luar negara, dengan Perancis menjadi tuan rumah Piala Dunia Ragbi pada musim luruh dan Sukan Olimpik Paris pada musim panas 2024.

Britain dan negara Eropah lain mengemas kini pesanan perjalanan untuk memberi amaran kepada pelancong supaya menjauhi kawasan terjejas akibat rusuhan itu.

Pergolakan itu memberi kesan besar kepada acara kebudayaan di Perancis dengan penyanyi Mylene Farmer terpaksa membatalkan konsert stadium dan butik fesyen Perancis, Celine membatalkan pertunjukan pakaian lelakinya di Paris yang dijadualkan pada hujung minggu ini.

Seorang anggota polis berusia 38 tahun didakwa melakukan pembunuhan ke atas kematian remaja itu dan direman dalam tahanan.

Pejabat hak asasi manusia PBB berkata pada Jumaat bahawa pembunuhan remaja keturunan Afrika Utara itu adalah “saat bagi negara itu untuk serius menangani isu perkauman dan diskriminasi kaum dalam penguatkuasaan undang-undang”. – AFP, 2 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen