WAKIL rakyat konservatif Iran membidas persatuan bola sepak negara itu pada Ahad kerana membenarkan bintang bola sepak Masoud Shojaei kembali menyarung jersi skuad kebangsaan walaupun pernah bermain dalam satu perlawan menentang pasukan Israel tahun lepas.
Shojaei, kapten pasukan kebangsaan berusia 33 tahun, dan rakan sepasukan Ehsan Haji Safi dikritik di Iran selepas muncul dalam perlawanan kelab Greece yang diwakilinya, Panionios Ogos lepas dalam penentuan Liga Eropah menentang Macabbi Tel Aviv.
Timbalan Menteri Sukan Mohammad Reza Davarzani pada waktu itu berkata kedua-dua pemain tersebut akan diharamkan daripada bermain untuk skuad kebangsaan seumur hidup.
Iran tidak mengiktiraf negera Yahudi itu dan mengharamkan atletnya daripada bertanding dengan rakyat Israel.
Kekalutan kian melarat berhubung perkara itu, pun begitu, Haji Safi tidak pernah diharamkan daripada menyertai skuad antarabangsa, sementara Shojaei terlepas semua perlawanan antarabangsa kecuali perlawanan bertemu Tunisia pada Jumaat lepas, yang menyaksikan Iran tewas 1-0.
“Menjemput semula Masoud Shojaei untuk menyertai pasukan bola sepak kebangsaan - selepas bertanding dengan rejim Zionis - menunjukkan persatuan bola sepak tidak mengambil serius tindakan berhubung perkara ini,” kata wakil rakyat Mohammad Ali Poormakhtar dalam wawancara bersama agensi berita konservatif Fars.
Beliau berkata menteri sukan akan disoal mengenai perkara itu selepas cuti tahun baru Iran.
Pada sidang media sebelum perlawanan menentang Tunisia bermula, Shojaei berkata: “Saya sangat gembira menjadi sebahagian daripada pasukan ini. Meskipun senarai akhir (untuk skuad Piala Dunia) masih belum diumumkan, hakikat bahawa saya bersama dengan pasukan ini sudah cukup membuatkan saya gembira dan bangga.”
Iran tidak boleh mengaku yang negara itu mengharamkan pemain daripada muncul dalam perlawanan menentang Israel ekoran peraturan ketat antarabangsa terhadap campur tangan politik dalam sukan. – AFP, 25 Mac, 2018.
Komen