SPRM siasat dakwaan amalan rasuah di KLIA


Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkjata pihaknya mengumpul maklumat daripada pihak terbabit selepas dakwaan dibuat oleh Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Tiong King Sing semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Julai, 2023.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat dakwaan rasuah dalam kalangan pegawai imigresen dalam mengendalikan pelancong asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

Menurut beliau, pihaknya mengumpul maklumat daripada pihak terbabit selepas dakwaan dibuat oleh Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Tiong King Sing semalam.

“SPRM akan menyiasat perkara itu sewajarnya. 

“Oleh itu, kami menggesa orang ramai agar tidak mensensasikan atau membuat spekulasi mengenai perkara ini,” katanya memetik laporan New Straits Times.

Semalam, Tiong mendakwa terdapat unsur rasuah di balai ketibaan KLIA.

Beliau berkata demikian selepas mengakui terlibat dalam insiden kekecohan di lapangan terbang.

“Kehadiran saya di KLIA telah membongkar budaya rasuah yang dilakukan oleh segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang kronik di pintu masuk negara,” dakwanya dalam satu kenyataan.

Tiong berkata beliau akan memberikan butiran terperinci kepada SPRM.

Terdahulu semalam Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata pihak berkuasa lapangan terbang sedang menyiasat insiden melibatkan seorang menteri yang didakwa menceroboh masuk ke balai ketibaan tanpa pas untuk membantu seorang warga China yang ditahan.

Bebas News melaporkan, menteri berkenaan didakwa mencetuskan kekecohan dengan memasuki balai ketibaan antarabangsa bagi membantu seorang warga China yang tidak dibenarkan masuk ke negara ini.

Tiong bagaimanapun menafikan dia berada di sana untuk cuba membebaskan warga asing itu.

“Saya tidak mempunyai kuasa untuk itu, dan saya hanya akan merosakkan reputasi saya sendiri jika saya berbuat demikian,” katanya.

Tiong mendakwa pegawai Imigresen mengenakan bayaran sebanyak RM3,000 untuk membebaskan pengembara yang mereka tahan.

“Tambahan RM3,000 diperlukan jika ingin pulang ke negara asal dengan segera melalui ‘laluan khas’ manakala RM12,000 untuk kos pemprosesan visa,” katanya.
 
“Saya akan bangkitkan perkara ini dalam kabinet, termasuk cadangan untuk menghapuskan ejen yang mengendalikan pelancong asing yang dilarang masuk ke negara ini.” – 1 Julai, 2023.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen