Kerajaan Maldives kecam kempen 'India Out' pembangkang


Presiden Maldives Ibrahim Mohamed Solih tahun lalu mengharamkan kempen 'India Out' diketuai Parti Progresif Maldives. – Gambar EPA, 1 Julai 2023.

PRESIDEN Maldives Ibrahim Mohamed Solih mengkritik kempen “India Out” parti pembangkang, dengan menyifatkan ia menjejaskan hubungan rapat dengan rakan kongsi utama.

“Hubungan dua hala yang kukuh antara Maldives dan India adalah berdasarkan hubungan sejarah dan budaya yang dikongsi, dipadankan dengan hubungan rakyat dengan rakyat.

“India sentiasa menjadi sekutu terdekat Maldives dan jiran yang dipercayai, memberi sokongan berterusan dan konsisten kepada rakyat Maldives di semua bidang,” menurut kenyataan yang dikeluarkan kerajaan pada Jumaat.

Kenyataan itu mengecam penggunaan topeng muka yang mencemuh Perdana Menteri India Narendra Modi dan slogan “India Out” semasa demonstrasi jalanan pada Khamis.

“Tindakan tidak bermaruah oleh pembangkang terhadap seorang rakan kongsi utama Maldives dan kepimpinannya semasa perayaan Aidiladha, bukan sahaja mencetuskan kebencian, tetapi juga menggalakkan permusuhan dengan memburukkan hubungan mesra yang terjalin sejak sekian lama dengan India,” katanya.

Kerajaan juga mengulangi dasar “India First” dan menegaskan pihaknya tetap komited untuk membina hubungan yang lebih erat dengan negara jiran itu.

Pentadbiran Solih tahun lalu mengharamkan kempen “India Out” diketuai Parti Progresif Maldives yang dipimpin bekas presiden Abdulla Yameen. – Bernama, 1 Julai 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen