KEMENTERIAN Luar Libya pada Khamis menuntut pihak berkuasa Sweden mengambil tindakan terhadap penunjuk perasaan yang membakar al-Quran di Stockholm, lapor Xinhua.
“Libya mengecam pembakaran naskhah al-Quran oleh seorang pelampau di luar perkarangan masjid di Stockholm, Sweden.
“Tindakan sedemikian jelas bercanggah dengan usaha antarabangsa untuk menyebarkan toleransi dan kesederhanaan, dan mengecam ekstremisme,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.
Seorang warga Sweden yang berasal dari Iraq dilaporkan telah mengoyak senaskah al-Quran dan membakarnya di hadapan masjid Stockholm semasa demonstrasi yang dibenarkan oleh pihak berkuasa Sweden.
Dalam kejadian serupa pada Januari, Rasmus Paludan, ketua parti politik sayap kanan Denmark Hard Line, membakar senaskhah al-Quran di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, dan mengulangi perbuatan itu di hadapan sebuah masjid di ibu negara Denmark, Copenhagen. seminggu kemudian. – Bernama, 1 Julai, 2023.
Komen