Jualan Murah Sentuhan Hati bukti kerajaan tak kawal inflasi


Muzliza Mustafa

JUALAN Murah Sentuhan Hati oleh Barisan Nasional (BN)  yang memberi tumpuan kepada barangan keperluan asas jelas sekali menunjukkan kegagalan kerajaan menguruskan ekonomi negara.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, program itu juga bukti kegagalan Putrajaya mengawal inflasi.

Apa yang diperlukan rakyat sebenarnya adalah pengawal harga, tambahnya.

“Buat apa BN buat Jualan Murah Sentuhan Hati kalau sekadar cuma dua minggu atau satu bulan sekali. Yang kita nak bukanlah sebulan sekali. Yang kita nak tiap-tiap hari.

“Kalau anda pergi ke pasar sekarang, semua orang merungut harga barangan tinggi. RM50 tak boleh beli banyak barang. 

“Rakyat macam harimau, hari-hari mau,” kata Lim kepada pemberita di Pulau Pinang hari ini.

Ujarnya, jualan murah itu hanyalah cubaan parti pemerintah untuk menunjukkan yang mereka mengambil berat akan kesusahan rakyat.

Walhal, kata Lim, BN sebenarnya program itu lagi menyusahkan rakyat.

“Sebenarnya, mereka gagal kawal harga itu, jadi sebab itu buat jualan murah. Hanya buat sebulan sekali. 

“Kalau betul-betul nak bantu, kena pastikan harga boleh kekal,” katanya.

Tambah Lim, satu-satunya langkah untuk mengekalkan harga ialah dengan menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

“Tanpa hapuskan GST, perkara ini takkan terjadi. Jadi (dengan hapuskan GST), tiap-tiap hari harga takkan melambung tinggi, harga dapat dikekalkan.

“Jualan murah ini adalah satu kempen untuk alihkan perhatian dan kaburkan mata rakyat,” katanya.

Jualan Sentuhan Rakyat yang diadakan di seluruh negara merupakan rancangan jangka pendek kerajaan persekutuan untuk menyelesaikan kos sara hidup yang tinggi.

Program BN itu menawarkan barangan keperluan asas kepada masyarakat di bawah harga pasaran.

Selain itu, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) juga merupakan salah satu contoh usaha kerajaan membantu mereka yang terbeban dengan masalah ekonomi.

Pemberian BR1M diberikan kepada lebih kurang tujuh juta rakyat. Setiap orang mendapat RM1,200 tahun ini, berbanding sebelum ini yang hanya RM500. – 25 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen