Tiket penerbangan lebih murah satu kelegaan besar, kata kumpulan pelajar


Ravin Palanisamy

Rata-rata pelajar menyambut baik inisiatif yuang dilaksanakan oleh Kementerian Pengangkutan yang membolehkan mereka membeli tiket penerbangan pada kadar lebih murah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Julai, 2023.

BADAN pelajar menyambut baik langkah Kementerian Pengangkutan memperkenalkan inisiatif yang membolehkan pelajar IPTA membeli tiket penerbangan pada kadar lebih murah bermula Ogos ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke semalam berkata kementerian akan memperkenalkan inisiatif Ogos ini bagi meringankan beban kewangan pelajar institusi pengajian tinggi awam khususnya dari Sabah dan Sarawak untuk membeli tiket penerbangan.

Loke berkata inisiatif itu, yang boleh memanfaatkan kira-kira 50,000 pelajar, kini masih dalam proses integrasi dengan syarikat penerbangan itu tetapi berharap ia akan dilancarkan pada Ogos, sebelum sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Presiden kesatuan pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Muntasir Aznan berkata ia merupakan satu inisiatif yang hebat dan ia akan memberi kelegaan besar kepada pelajar.

“Isu ini telah berlarutan sejak sekian lama dan saya gembira ia kini di ambang penyelesaian,” kata Muntasir kepada The Malaysian Insight.

Muntasir berkata inisiatif ini dapat meringankan beban pelajar khususnya dari Sabah dan Sarawak.

“Kebiasaannya, pelajar dari Sabah dan Sarawak adalah mereka yang terkesan dengan tambang penerbangan yang lebih tinggi, malah lebih teruk pada musim perayaan.

“Ada yang terpaksa tinggal kerana tambang yang mahal, dan tidak dapat bersama keluarga semasa perayaan.

“Tetapi saya berharap inisiatif ini akan menamatkan semua itu,” tambahnya.

Muntasir berkata beliau kini mengharapkan inisiatif itu untuk dilaksanakan tanpa sebarang halangan.

Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kementerian akan memperkenalkan inisiatif pada Ogos ini bagi meringankan beban kewangan pelajar institusi pengajian tinggi awam khususnya dari Sabah dan Sarawak untuk membeli tiket penerbangan.

Jurucakap kumpulan pelajar Universiti Malaya (UM) Demokrat UM Carlos Sebastien John berkata mereka memuji Kementerian Pengangkutan atas usaha mereka dalam memperkenalkan inisiatif itu untuk membantu pelajar yang memerlukan penerbangan berulang alik kampus universiti sepanjang tempoh pengajian mereka.

“Pada masa ini, ramai pelajar tidak mampu untuk pulang pada waktu puncak kerana harga tiket penerbangan yang terlalu tinggi dan sebarang bantuan,” katanya.

Sebastian berharap tidak akan ada sebarang gangguan dengan pelaksanaan inisiatif itu.

“Kami pastinya mengiktiraf kemajuan dalam memastikan pendidikan peringkat pengajian tinggi menjadi lebih mudah diakses tanpa beban kewangan yang berat.

“Kami berharap dan menggesa kerajaan untuk melihat semua kemungkinan senario yang mungkin timbul bagi memastikan program ini mencapai kejayaan yang diharapkan,” katanya.

Sementara itu, Loke turut melancarkan program Pelajar syarikat penerbangan tempatan MYAirline, mengumumkan bahawa ia akan menawarkan diskaun tambang 20% dan elaun bagasi percuma 15kg kepada pelajar - berumur antara 16 dan 26 tahun - yang menaiki penerbangan domestik di bawah program Pelajar mereka.

Mengenai perkara ini, Sebastian berkata diskaun 20% pastinya akan membantu mereka.

Beliau bagaimanapun mempersoalkan sekiranya harga penerbangan meningkat semasa perayaan, bagaimanakah diskaun 20% itu akan membantu.

“Kami bergelut untuk melihat bagaimana diskaun 20% boleh membantu pelajar, terutama mereka yang berlatar belakang sosio-ekonomi rendah, untuk tetap melakukan perjalanan pulang ditambah dengan permintaan tinggi dan kebanyakannya penerbangan yang ditempah sepenuhnya,” katanya.

“Adakah terdapat diskaun lagi untuk pelajar yang memerlukannya?

“Selain itu, kami berhasrat untuk memahami bagaimana penggunaan diskaun ini akan dilaksanakan? Adakah terdapat peringkat permohonan untuk setiap tiket? Atau sesiapa boleh membeli tiket berharga pelajar? Dan apakah dokumentasi yang diperlukan untuk membuktikan status pelajar?

“Adakah diskaun seperti itu disediakan dengan mudah sekiranya terdapat kecemasan keluarga yang memerlukan pelajar untuk pulang?” tanya pelajar UM itu. – 1 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen