KETUA Pemuda MIC Selangor mengemukakan peletakan jawatannya hari ini, tiga hari selepas bekas naib presiden parti Sivaraj Chandran keluar daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) itu.
P Punithan dilaporkan telah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada presiden parti SA Vigneswaran hari ini.
Peletakan jawatannya bermakna beliau juga akan meletakkan jawatan sebagai ketua Pemuda cawangan Bandar Baru Batang Berjuntai (Kuala Selangor) berkuat kuasa serta-merta.
“Setelah berkhidmat dan menjawat pelbagai jawatan di bawah MIC selama 15 tahun hari ini saya membuat keputusan yang berat untuk meletakkan semua jawatan saya dalam MIC.
“Menerusi surat ini, saya ingin menyampaikan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pimpinan MIC Pusat, Negeri, Bahagian dan Cawangan di seluruh Negara serta rakan-rakan yang bersama saya sehingga ke hari ini.
“Saya percaya saya telah memberikan khidmat yang terbaik serta komitmen yang tinggi dalam 15 tahun saya berkhidmat bersama MIC,” katanya memetik laporan Malaysiakini.
“Keputusan ini adalah keputusan peribadi saya. Saya berharap MIC akan terus menjadi suara masyarakat India di bawah kerajaan perpaduan ini,” tambahnya.
Punithan pernah berkhidmat sebagai ahli jawatankuasa kerja pusat (CWC) MIC, serta setiausaha Pemuda MIC dan ketua penerangan MIC.
Vigneswaran kemudiannya mengesahkan menerima surat Punithan dan berkata beliau berminat untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).
“Kami berbincang panjang lebar mengenai politik dan masa depan dia.
“Dalam perjumpaan itu, dia memberitahu hasratnya bahawa ingin keluar dari MIC dan meneruskan karier politik bersama PN,” kata Vigneswaran kepada Malaysiakini.
“Saya menerima keputusan dia. Saya dengan ini mengucapkan selamat maju jaya kepada saudara Punithan bersama PN.”
Selasa lalu, bekas ahli Parlimen Cameron Highlands, Sivaraj mendakwa dia dengan “berat hati” membuat keputusan untuk keluar dari MIC, dengan alasan tidak serasi dengan kepimpinan parti.
Sivaraj, yang kini merupakan ahli Dewan Negara, berkata keputusannya untuk berhenti adalah yang terbaik untuknya dan parti.
Awal bulan ini, Sivarraajh telah disingkirkan daripada jawatankuasa kerja pusat MIC. – 30 Jun, 2023.
Komen