Ada unsur rasuah di balai ketibaan KLIA, kata Tiong


Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing berkata terdapat unsur rasuah di balai ketibaan KLIA. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Jun, 2023.

TERDAPAT unsur rasuah di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing.

Tiong berkata demikian selepas tular insiden kekecohan yang berlaku di lapangan terbang itu baru-baru ini.

“Kehadiran saya mendedahkan budaya rasuah oleh beberapa pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang kronik,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, beliau akan memberikan butiran terperinci kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Awal hari ini Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata pihak berkuasa lapangan terbang sedang menyiasat insiden melibatkan seorang menteri yang didakwa masuk ke balai ketibaan tanpa pas untuk membantu seorang warga China yang ditahan.

Bebas News melaporkan menteri berkenaan didakwa mencetuskan kekecohan dengan memasuki balai ketibaan antarabangsa bagi membantu seorang warga China yang dilarang masuk ke negara ini.

Menteri itu kemudian didakwa memarahi polis bantuan KLIA dan pegawai imigresen ketika cuba membantu warga China itu.

Tiong bagaimanapun menafikan beliau berada di sana untuk membebaskan warga asing itu.

“Saya tidak mempunyai kuasa untuk itu dan saya hanya akan merosakkan reputasi saya sendiri jika saya berbuat demikian,” katanya.

Tiong berkata, pegawai imigresen mengenakan bayaran sebanyak RM3,000 untuk membebaskan pelancong yang ditahan mereka.

“Tambahan RM3,000 diperlukan jika ingin pulang ke negara asal dengan segera melalui ‘laluan khas’ manakala RM12,000 untuk kos pemprosesan visa.

“Saya akan bangkitkan perkara ini kepada Kabinet termasuk cadangan untuk menghapuskan ejen yang mengendalikan pelancong asing yang ditolak masuk ke negara ini,” tegasnya. – 30 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen