Caj Plaza Tol Alam Damai SUKE bermula 30 Jun


Kutipan tol sepenuhnya secara elektronik menggunakan kad Touch 'N Go, SmartTAG dan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID). – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Jun, 2023.

PENGGUNA Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) perlu membayar tol di Plaza Tol Alam Damai, bermula Jumaat 12.01 tengah malam.

Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd (PROLINTAS) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pengguna lebuh raya itu menikmati perjalanan tanpa tol selama dua minggu, dari 16 ke 29 Jun sempena pembukaan Fasa 2 SUKE.

Kenyataan itu memaklumkan kutipan tol melibatkan dua jajaran dari persimpangan Sri Petaling ke persimpangan Cheras-Kajang dibuka kepada pengguna sejak 16 Jun.

Kadar tol kekal seperti yang dikenakan di Plaza Tol Bukit Teratai dan Plaza Tol Ampang mengikut kelas kenderaan iaitu kereta (RM2.30), lori (RM4.60), treler (RM6.90), teksi (RM1.20) dan bas (RM2.30).

Kutipan tol sepenuhnya secara elektronik menggunakan kad Touch ‘N Go, SmartTAG dan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

PROLINTAS memaklumkan pada ketika ini jajaran utama SUKE sejauh 24.4 kilometer sudah beroperasi manakala Fasa 3 melibatkan Persimpangan Alam Damai masih dalam pembinaan dan dijangka akan mula dibuka pada suku ketiga tahun ini.  – Bernama, 29 Jun, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen