Facebook buat iklan minta maaf dalam akhbar di UK


Hari ini, hampir semua akhbar di Britain penuh dengan iklan mohon maaf oleh Zuckerberg berhubung kebocoran data peribadi pengguna media sosial itu. – Gambar AFP, 25 Mac, 2018.

HAMPIR semua akhbar di Britain hari ini dipenuhi dengan iklan permohonan maaf oleh ketua pegawai eksekutif Facebook Mark Zuckerberg berhubung skandal besar data peribadi pengguna media sosial itu.

“Kami bertanggungjawab menjaga maklumat anda. Kalau kami tak mampu, kami tak berhak berbuat demikian,” tertera tulisan itu di belakang akhbar.

Zuckerberg menjelaskan terdapat kuiz yang dibangunkan pengkaji universiti “yang membocorkan data berjuta pengguna Facebook pada 2014.”

“Ini pecah amanah. Saya minta maaf yang kami tak bertindak lanjut pada masa itu. Sekarang kami sedang mengambil langkah supaya ianya tidak berulang lagi,” katanya.

Kenyataan itu menggambarkan kenyataan Zuckerberg minggu lalu selepas pelbagai siasatan dilakukan di Eropah dan Amerika Syarikat sehingga saham Facebook jatuh.

Zuckerberg mengulangi kenyataan yang Facebook telah mengubah syarat dan termanya supaya tiada lagi kebocoran data berlaku.

“Kami juga sednag menyiasat setiap aplikasi yang mempunyai akses kepada data yang sangat besar sebelum kami uruskan masalah ini. Kami jangka ada banyak lagi,” tulisnya.

“Dan bila kami jumpa mereka, kami akan gantung mereka dan beritahu semua orang yang mereka telah ‘terkena’.”

Bagaimanapun dalam iklan minta maaf itu, tidak disebut pula nama syarikat firma British, Cambridge Analytica yang dituduh mencuri data peribadi.

Cambridge Analytica pernah terlibat dalam kempen pilihan raya presiden AS Donald Trump pada 2016. – AFP, 25 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen