Banyak halangan dalam rundingan damai Selatan Thailand?


Ketua penal rundingan damai Shukri Hari dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa dua inisiatif yang diambil oleh Komander tentera wilayah empat Piyawat Nakwanich itu bukan sebahagian daripada proses rundingan damai antara kerajaan Thai dengan mereka. – Gambar EPA, 25 Mac, 2018.

ADAKAH pihak bertelagah dalam rundingan damai selatan Thailand berupaya menyelesaikan  perbezaan pendapat terbaharu mereka dan mencari titik pertemuan bagi memberi laluan kepada pembentukan “Zon Keselamatan” di satu daerah di wilayah selatan negara itu?

MARA Patani (Majlis Syura Patani) beberapa hari lepas mengeluarkan kenyataan keras menentang  program “deradikalisasi” yang kontroversi serta pengumuman 14 zon selamat oleh tentera wilayah empat yang dikatakan telah mencetuskan kekeliruan dalam rundingan damai 

Ketua penal rundingan damai Shukri Hari dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa dua inisiatif yang diambil oleh Komander tentera wilayah empat Piyawat Nakwanich itu bukan sebahagian daripada proses rundingan damai antara kerajaan Thai dengan mereka.

Beliau juga mengambil tindakan luar biasa dengan menyuarakan keyakinan kumpulan itu terhadap kumpulan rundingan damai Thailand yang diketuai Jeneral Askara Kerdphol serta mandat daripada perdana menteri Gen Prayut Chan-o-cha.

Sungguhpun masih belum jelas disebalik pengesahan rakan dialog itu, bagaimanapun ini mungkin berkait rapat dengan “pergelutan kuasa” terhadap hala tuju proses rundingan damai seperti yang didakwa media negara itu.

Ketika dihubungi Bernama berkenaan kenyataan keras oleh Mara Petani, Piyawat kelihatan tenang dan tidak merasa terancam dengan kritikan terhadap dua projek yang beliau tandatangani iaitu program “Bawa Pulang Rakyat” dan cadangan “Zon Keselamatan” yang diwujudkan oleh tentera.

“Apa yang kami lakukan (program dan and zon keselamatan) adalah di tahap kawasan. Kedua-dua inisiatif  adalah di bawah tentera rantau empat (Wilayah Selatan).  Bagi Jen Aksara, tugas beliau adalah diperingkat  kerajaan,” katanya.

Sebagai komander rantau empat, beliau bertanggungjawab terhadap keselamatan di selatan Thailand.

Piyawat menjelaskan  bahawa sebagai orang bawahan beliau akur dengan apa sahaja keputusan  kerajaan atau “brother Aksara”, dan bulat-bulat menolak khabar angin oleh media tempatan  tentang apa yang dikatakan sebagai konflik beliau dengan penal dialog damai kerajaan,

“Tidak…kami tiada konflik, saya melaksanakan tugas saya , beliau (Jen Aksara) juga melaksanakan tugasnya. Beliau mempunyai tanggungjawab terhadap peranannya dan saya mempunyai tugas terhadap tanggungjawab saya,” kata beliau, yang didakwa menggunakan pendekatan  keras dalam menangani kekacauan di selatan Thailand.

Jumlah “Zon Keselamatan” yang diwujudkan oleh tentera akan ditingkatkan kepada 18  daripada 14 sekarang, di mana hampir  400 orang yang didakwa mempunyai hubungan dengan kumpulan militan telah menyertai program “Bawa Pulang Rakyat” sejak Feb lepas, katanya.

Mengenai isu perbalahan tentang imuniti bagi pemerhati Mara Patani untuk memasuki dan memantau tingkah laku dalam “Zon Keselamatan” itu, Piyawat  bertegas bahawa individu yang melanggar undang-undang Thailand akan ditangkap.

“Jika mereka melanggar undang-undang Thailand, saya akan tangkap kesemuanya. Tiada yang mengatasi undang-undang, kami menggunakan undang-undang yang sama diseluruh negara,” katanya.   

Sementara itu Aksara juga menolak sekeras-kerasnya dakwaan  “konflik ” antara beliau dan Piyawat  dengan mengatakan bahawa kedua-dua mereka adalah di bawah  ”  pemerintah yang sama.”

“Kami tidak mempunyai konflik, kami berganding bahu ketika menjalankan tugas, sungguhpun terdapat pandangan yang berbeza kerana setiap orang berhak atas pandang peribadi, namun pada akhirnya kami boleh berbincang dan memahami antara satu sama lain,” kata jeneral bersara itu kepada Bernama.

Beliau juga telah berbincang dengan Piyawat mengenai cadangan “Zon Keselamatan” baru-baru ini, di mana komander tentera itu menyuarakan kesanggupannya untuk menyokong pelaksanaan zon bebas keganasan di satu daerah di wilayah selatan Thailand itu.

Aksara juga mempertahankan cadangan zon keselamatan oleh tentera di selatan Thailand ,  dengan mengatakan bahawa inisiatif itu merupakan “perkara baik” kepada negara dan tidak sama sekali menyaingi “Zon Keselamatan” yang dicadangan dalam rundingan damai yang sedang berjalan antara Mara Petani dan kerajaan Thailand.

Beliau berkata mereka akan mengumumkan lokasi “Zon Keselamatan” itu apabila semuanya siap sedia. – Bernama, 25 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen