PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang menuduh DAP dan mereka yang menyifatkan kemajuan parti Islam itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 sebagai “gelombang hijau” mempunyai tujuan islamofobia.
Beliau mendakwa yang pihak tersebut “ternyata mempunyai tujuan yang nyata songsangnya terhadap Islam” yang disifatkannya sebagai asas dan matlamat perjuangan PAS.
Ahli Parlimen Marang itu dalam catatan panjang di Facebooknya berkata, kejayaan PAS dipandang negatif kerana prinsip Islam yang dipegangnya.
“Kejayaan PAS dianggap negatif kerana Islamnya, sehinggakan PAS boleh mencapai kerusi terbanyak dalam kalangan semua parti politik, di samping berjaya menawan dan mentadbir beberapa kerajaan negeri, walaupun dalam bidang kuasa yang terbatas mengikut konsep federalisme yang banyak kecacatannya.
Namun demikian, sedikit konsep pentadbiran Islam telah menunjukkan PAS sebagai sebuah parti yang paling berintegriti. Adakah itu alasan yang dianggapnya adalah berbahaya?” soalnya.
Tambahnya lagi, parti politik yang membentuk kerajaan persekutuan sengaja menunjukkan kekaburan terhadap semua salah laku, korupsi, ketirisan, penipuan yang dilakukan mereka sendiri, “sehinggakan mereka boleh berpakat menubuhkan kerajaan yang dinamakan perpaduan”.
Katanya lagi, sikap salah terhadap Islam yang ditunjukkan ini sama seperti penjajah British ketika mereka menjajah negara ini.
Terma “gelombang hijau” timbul selepas pilihan raya November lalu apabila PAS yang sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN) menang besar.
Mereka berjaya di kebanyakan tempat konservatif didominasi Melayu-Islam di utara Semenanjung. – 29 Jun, 2023.
Komen