AMERIKA Syarikat mempunyai kewajipan untuk membayar ‘hutang sejarah’ kepada Nicaragua berdasarkan keputusan mahkamah antarabangsa lebih 30 tahun yang lalu, kata Menteri Luar Nicaragua, Denis Moncada di New York pada Selasa.
Moncada pada Selasa menyerahkan surat kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres yang ditandatangani oleh Presiden Nicaragua, Daniel Ortega serta meminta ketua PBB itu untuk mengedarkan dokumen mengenai kedudukan Nicaragua berhubung kewajipan AS kepada Perhimpunan Agung PBB.
Dokumen itu menyatakan “terdapat hutang sejarah kepada rakyat Nicaragua yang belum diselesaikan oleh Amerika Syarikat sejak 37 tahun lalu”.
Dokumen itu menekankan Nicaragua tidak menggugurkan “pembayaran hutang” atau “hak untuk menerima pampasan”.
Menurut dokumen itu Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengeluarkan keputusan pada 27 Jun 1986 mengarahkan AS untuk memberi ganti rugi kepada Nicaragua atas semua kerosakan yang disebabkan oleh aktiviti ketenteraan dan separa tenteranya terhadap Nicaragua.
“Berdasarkan keputusan ini, AS mempunyai kewajipan undang-undang untuk memberi ganti rugi, membayar kerosakan yang mereka lakukan terhadap rakyat, negara, dan kerajaan Nicaragua,” kata Moncada kepada Xinhua dalam satu temu bual di ibu pejabat PBB.
“Keputusan itu masih berkuat kuasa. Ia mengikat dan ia wajib dipatuhi,” katanya.
Pada masa itu Amerika Syarikat enggan mengambil bahagian dalam prosiding berkenaan, menggunakan hak veto untuk menghalang resolusi Majlis Keselamatan PBB dan mengundi menentang resolusi terbabit yang mendesak pematuhan penuh dan segera terhadap keputusan itu. – Bernama, 29 Jun, 2023.
Komen