SEBUAH jawatankuasa parlimen mengesyorkan pengharaman iklan judi di Australia dalam tempoh tiga tahun, lapor Xinhua.
Jawatankuasa tetap parlimen mengenai dasar sosial dan hal ehwal undang-undang pada Rabu membentangkan laporan daripada siasatannya terhadap judi dalam talian dan kesannya.
Selepas berbulan-bulan pendengaran dan hujahan, jawatankuasa itu membuat 31 syor termasuk larangan menyeluruh terhadap semua bentuk pengiklanan judi dalam talian yang akan diperkenalkan dalam empat fasa dalam tempoh tiga tahun.
Pengerusi jawatankuasa itu Peta Murphy berkata jangka masa tiga tahun itu akan memberi masa kepada penyiar sukan untuk mencari pengiklan alternatif.
“Rakyat Australia adalah orang yang paling rugi di dunia dalam isu judi. Kami mempunyai budaya di mana sukan dan perjudian dikaitkan secara intrinsik. Tingkah laku ini menyebabkan kemudaratan yang semakin meluas dan serius kepada individu, keluarga dan komuniti,” katanya dalam satu kenyataan media .
Menurut Institut Kesihatan dan Kebajikan Australia (AIHW), rakyat Australia kerugian kira-kira AUD$25 bilion (AS$16.7 bilion) akibat judi pada tahun kewangan 2018-19 mewakili kerugian per kapita terbesar di dunia.
Siasatan itu juga antara lain menggesa kerajaan persekutuan untuk melaksanakan strategi nasional yang komprehensif mengenai pengurangan bahaya judi dalam talian disokong oleh peraturan negara dan ombudsman judi dalam talian.
Ia mengesyorkan tindakan keras terhadap laman web judi haram dan keperluan bagi syarikat judi untuk mengesahkan identiti pelanggan sebelum menerima pertaruhan mereka. – Bernama, 29 Jun, 2023.
Komen