Jemaah haji lontar jamrah dalam cuaca panas terik


Jemaah haji berarak ke arah Jambatan Jamarat untuk melontar batu sebagai sebahagian daripada simbolik ritual al-A'qabah ketika menunaikan haji di Mina. – Gambar fail EPA, 28 Jun, 2023.

RATUSAN ribu jemaah melontar jamrah bagi menunaikan ibadah yang melambangkan lontaran batu ke arah syaitan pada Rabu, pada musim haji terbesar sejak pandemik di bawah panas matahari di Arab Saudi.

Sejak subuh di Mina, ratusan ribu jemaah haji mula melontar batu ke arah tiga tiang sebelum bergerak ke Makkah untuk tawaf terakhir dengan berjalan mengelilingi Kaabah di Masjidil Haram.

Lebih 1.8 juta jemaah haji menunaikan ibadah itu tahun ini dalam musim haji pertama tanpa sekatan sejak penularan Covid-19 pada 2020.

Sebelum ini, musim haji merekodkan kira-kira 2.5 juta jemaah pada 2019.

Selain perlu berasak dengan ribuan orang, jemaah haji juga perlu berdepan dengan suhu tinggi sepanjang menunaikan haji, yang ketika ini berlangsung pada musim panas di Arab Saudi.

Semalam, suhu tertinggi direkodkan adalah 48 darjah Celsius, ketika jemaah haji berada di Arafah dan suhu dijangka mencecah 47 darjah Celsius hari ini di Mina.

“Saya mungkin tidak akan tunaikan haji lagi melainkan ia berlangsung pada musim sejuk.

“Saya rasa badan saya mencair,” kata Farah, jemaah haji dari Tunisia.

Sementara itu di Makkah, Masjidil Haram dipenuhi sejak awal pagi oleh jemaah yang berjalan mengelilingi Kaabah, sambil mengucapkan tahniah antara satu sama lain kerana berjaya melengkapkan ibadah itu. – AFP, 28 Jun, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen