Anwar hadiri majlis takbir raya Aidiladha di Sungai Long


Perdana Menteri Anwar Ibrahim bertakbir hari raya bersama jemaah di Masjid Taman Rakan Sungai Long malam ini. – Gambar Facebook, 28 Jun, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim hari ini menyertai majlis takbir raya sempena Hari Raya Aidiladha yang akan disambut esok.

Bacaan takbir raya itu dipimpin Imam Masjid Taman Rakan Sungai Long, Mohd Zamzuri Abu Othman dengan disertai ahli jawatankuasa, jemaah masjid dan penduduk setempat.

Laungan takbir itu turut disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi saluran TV1 serta di laman sosial rasmi perdana menteri, RTM dan Kementerian Komunikasi dan Digital pada jam 8.20 malam tadi.

Terdahulu Anwar yang lengkap berbaju Melayu, tiba di masjid berkenaan pada jam 7.19 malam disambut ahli jawatankuasa masjid dan jemaah.

Anwar dan jemaah kemudiannya berbuka puasa sebelum bersama-sama menunaikan solat Maghrib dan seterusnya bersedia untuk melaungkan takbir raya.

Selesai takbir, perdana menteri kemudiannya meluangkan masa beramah mesra dan bergambar bersama jemaah dan kanak-kanak sebelum meninggalkan masjid pada jam 8.30 malam.

Esok, Perdana Menteri dijadual menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Putra, Putrajaya. – Bernama, 28 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen