Lebih 5 juta kenderaan di lebuh raya sempena Aidiladha, kata menteri


Purata harian trafik di Lebuhraya PLUS dijangka sehingga 2 juta kenderaan manakala di Lebuhraya KL-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1 masing-masing sehingga 170,000 dan 60,000. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Jun, 2023.

LEBIH lima juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya sempena Hari Raya Aidiladha yang akan disambut esok.

Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata pertambahan jumlah kenderaan dijangka berlaku secara berperingkat sejak 27 Jun hingga 3 Julai ini.

“Jumlah purata peningkatan trafik harian di seluruh lebuh raya mampu mencecah sehingga 5.1 juta transaksi kenderaan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persediaan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjelang perayaan Hari Raya Aidiladha di Kawasan Rehat dan Rawat Dengkil (Arah Selatan) Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) hari ini.

Nanta berkata daripada jumlah itu, purata harian trafik di Lebuhraya Utara Selatan dijangka mencapai sehingga dua juta kenderaan manakala di Lebuhraya KL-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1 masing-masing mencecah sehingga 170,000 dan 60,000 kenderaan sehari.

Beliau berkata, Kementerian Kerja Raya dan LLM bersedia sepenuhnya untuk memastikan kelancaran trafik di lebuh raya dan syarikat konsesi lebuh raya diarahkan untuk mengambil langkah proaktif bagi meminimumkan kesan negatif peningkatan trafik.

Beliau berkata syarikat konsesi diminta untuk memastikan tiada kerja pembinaan dan penyelenggaraan yang menyebabkan penutupan lorong bermula 24 Jun hingga 3 Julai dan mengeluarkan cadangan waktu perjalanan (TTA) bagi pengguna Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya KL-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 bagi membantu pengguna merancang perjalanan.

Nanta berkata PLUS akan mengaktifkan laluan ‘smart lane’ atau laluan kontra di beberapa lokasi berdasarkan keperluan dan kesesuaian bagi menambah kapasiti dan melancarkan trafik.

Menurutnya, langkah lain termasuk meningkatkan pengurusan pengoperasian dengan menambah sehingga 20% petugas lebuh raya seperti anggota peronda, petugas di plaza tol dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), memastikan sistem kutipan tol berfungsi dengan baik bagi mengelakkan kesesakan di plaza tol dan menempatkan petugas untuk memberi bantuan kepada pengguna bermasalah.

Nanta berkata pihaknya juga akan memastikan syarikat konsesi menyediakan anggota Emergency Response Team (ERT) yang secukupnya bagi mempercepatkan tempoh tindakan menangani sebarang insiden yang berlaku di lebuh raya.

Katanya untuk kemudahan pengguna lebuh raya, Pusat Pengurusan Trafik (TMC), LLM akan beroperasi 24 jam pada 28 Jun dan 2 Julai bagi membantu pengguna lebuh raya mendapatkan maklumat trafik terkini.

Dalam pada itu, Nanta berkata bagi mengatasi kesesakan laluan RFID, kakitangan akan disediakan dengan pengimbas mudah alih bagi melancarkan trafik. – Bernama, 28 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen